• Pegawai Universiti Didakwa Cabul Pekerja

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Seorang pegawai undang-undang sebuah universiti awam (UA) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas tujuh pertuduhan mencabul kehormatan pekerjanya.

    Tertuduh, Abdul Karim Abdul Aziz, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi.

    Bagi tiga pertuduhan yang dibacakan bersama, dia didakwa mengeluarkan perkataan dengan maksud hendak mengaib kehormatan dua pekerjanya yang dilakukan di pejabat penasihat undang-undang UA berkenaan antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada Januari hingga Ogos tahun lalu.

    Tiga lagi pertuduhan yang dibacakan bersama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi dan masa berbeza antara Ogos hingga September tahun lalu.

    Bagi pertuduhan terakhir, Abdul Karim didakwa mengaibkan dua pekerjanya dengan perkataan berbaur lucah di lokasi sama pada jam 8 pagi, 26 September tahun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan bagi kesemua pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pegawai Universiti Didakwa Cabul Pekerja "