• Pegawai Kastam Terima 100 Kes Ugutan, Ancaman Setiap Tahun

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Secara purata sebanyak 100 insiden, kes ugutan dan ancaman terhadap keselamatan diterima oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara pada setiap tahun.

    Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, sepanjang bulan ini sahaja empat kes melibatkan jenayah dan ugutan telah dilaporkan termasuk satu kes baharu melibatkan perbuatan khianat dengan membakar kereta dan rumah seorang pegawai kanannya, kelmarin.

    “Antara kejadian lain yang berlaku pada bulan ini ialah kes simbah cat, kereta dilanggar dan ancaman terhadap keselamatan yang berlaku terhadap pegawai kastam di Lembah Klang, Kelantan, Johor dan Sabah.

    “Biar pun kejadian ini semakin kerap berlaku, kami tidak takut atau gentar dengan sebarang ugutan dan berjanji untuk terus berkhidmat demi negara,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Kelmarin, empat buah kereta milik ahli keluarga dan Penolong Pengarah Kanan Kastam Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) JKDM, Nor Azman Jini dibakar kira-kira pukul 3.30 pagi.

    Menurut kenyata­an daripada polis, Nor Azman, 59, sebelum ini pernah menerima ugutan ketika bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Duti Tinggi jabatan itu, tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Subromaniam memberitahu, insiden yang berlaku terhadap Nor Azman adalah genap setahun selepas seorang pegawainya yang berkhidmat di Kelantan, Anisah Ali maut dirempuh tonto.

    Dalam pada itu, beliau menjelaskan, bagi menjaga keselamatan pegawainya, pihaknya telah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera terhadap kes-kes yang dilaporkan kastam.

    Sementara itu, merujuk insiden yang berlaku terhadap Nor Azman, ujar beliau, pihaknya akan mencadangkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah pegawainya di kuarters kerajaan di Putrajaya.

    Tambahnya, ini kerana di sini tiada kuarters khusus untuk pegawai kastam seperti terdapat di negeri lain yang terletak di dalam satu kawasan dan dikawal ketat sepanjang masa.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pegawai Kastam Terima 100 Kes Ugutan, Ancaman Setiap Tahun "