• Pegawai Daerah Comel Ini Digantung Kerja Sebab…

    Published: Tuesday, 16 January 2018
    A- A+


    JAKARTA – Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tjahjo Kumolo menggantung tugas bupati atau pegawai daerah untuk Kepulauan Talaud di Sulawesi Utara, iaitu Sri Wahyumi Maria Manalip.

    Tindakan disiplin itu terpaksa dilakukan bukan kerana wanita tersebut agak comel bergaya dengan fesyen menarik, namun didapati pernah pergi ke luar negeri bertemu pemimpin asing tanpa kebenaran rasmi pihak kementerian.

    Menurut media tempatan, Sri Wahyumi, 41, dilaporkan pernah mengunjungi Amerika Syarikat (AS) dari 20 Oktober sehingga 13 November 2017 lalu selain berkesempatan berjumpa dengan Presiden Donald Trump di White House.

    Ketua Biro Pemerintahan dan Perhubungan Awam Wilayah Sulawesi Utara, Jemmy Kuemendong mengesahkan menerima Surat Keputusan Menteri bernombor 131.71-17 tahun 2018 merujuk penggantungan itu pada Khamis.

    “Surat berkenaan sudah ada, nanti besok akan diserahkan kepada bupati,” katanya. Menurut Tjahjo, Sri Wahyumi dianggap melanggar Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2014 mengenai Pemerintahan Daerah khususnya Pasal 76.

    Peraturan tersebut menyatakan dengan jelas bahawa Ketua Daerah atau timbalannya yang didapati melakukan perjalanan ke luar negeri tanpa izin boleh dikenakan tindakan pemberhentian sementara selama tempoh tiga bulan.

    Bagaimanapun, mengulas isu penggantungan dirinya, bupati berwajah cantik ini mengakui bahawa perjalanan ke AS tersebut merupakan urusan pribadi, malahan dia tidak membawa staf atau menggunakan peruntukan jabatannya.

    “Pasport yang saya gunakan pun adalah pasport orang awam dan saya ke sana sendiri tanpa bawa staf. Saya juga tidak guna dana daripada bajet pejabat daerah,” ujar Sri Wahyumi dengan kesal ketika dipetik portal Kompas.com.

    Beliau juga kecewa berita itu ‘bocor’ tular menerusi media sosial terlebih dahulu dan menyifatkan hukuman tersebut zalim kerana dirinya diundang Trump ke pejabatnya dan berada di AS bagi mengikuti satu program antarabangsa.

    Ketika ini, Sri Wahyumi dilaporkan berhasrat menjadi bakal calon Bupati Talud dalam pilihan raya tempatan 2018 dan bertanding di bawah tiket bebas berpasangan dengan Gunawan Talenggoran. – Agensi/Mynewshub.cc


    Subjects:

  • No Comment to " Pegawai Daerah Comel Ini Digantung Kerja Sebab… "