• PBB Parti Unik, Luar Biasa

    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+

    Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) boleh dianggap sebagai parti politik unik dan luar biasa di Sarawak kerana setiap kali berlakunya peralihan kuasa sudah pasti berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejak dari kepimpinan Tun Pehin Sri Abdul Mahmud sehingga sekarang peralihan kuasa dalam PBB terus berjalan lancar.

    "Tun Taib (bekas ketua menteri dan sekarang Yang Dipertua Negeri) melepaskan jawatan kepada Pehin Sri Adenan Satem, kita memberi sokongan padu kepada Pehin Sri Adenan Satem.

    "Ketika Pehin Sri Adenan Satem meninggal dunia (pada 11 Januari tahun lepas), semua ahli PBB memberi amanah kepada saya menjadi kapten baharu.

    "Kita tidak bergaduh antara satu sama lain dalam parti," katanya seperti yang dilaporkan The Borneo Post.

    Beliau memuji Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PBB Datuk Seri Fadillah Yusof dan Dato Sri Empiang Jabu masing-masing yang melepaskan jawatan untuk memberi ruang kepada generasi baharu.

    "Dalam PBB, kita mengamalkan sifat saling memahami dan membuka ruang kepada generasi muda," ujarnya.

    Beliau menjelaskan, PBB perlu terus mengekalkan kekuatan dan berkhidmatan sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) untuk membawa lebih pembangunan kepada Sarawak.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " PBB Parti Unik, Luar Biasa "