• PBB Parti Komponen BN Paling Stabil Dalam Persediaan Hadapi PRU14

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    MUKAH: Dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, beliau percaya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ternyata parti komponen Barisan Nasional (BN) paling stabil di Malaysia.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, beliau juga percaya Perhimpunan Agung Tritahunan PBB pada Februari depan bakal berjalan lancar dengan budaya peralihan kuasa aman dan stabil.

    “Kita (PBB) adalah parti terkuat menjelang perhimpunan PBB yang bakal menjelang Februari nanti,” katanya.

    Menurutnya lagi, kepercayaan terhadap peneraju utama kepimpinan PBB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg melalui pengalamannya dalam dunia politik antara perkara utama dalam parti berkenaan.

    “Pengalaman politik yang tidak pernah berhenti selama lebih empat dekad dan praktis dalam turun naik dunia politik Sarawak telah menjadi guru yang baik kepada beliau (Abang Johari),” jelasnya.

    Katanya lagi, ini terbukti dengan persetujuan semua 82 cawangan PBB yang membentangkan usul agar jawatan presiden serta jawatan dua timbalan presiden tidak dipertandingkan.

    “Jadi, apa lagi yang mahu diperkatakan selain PBB kukuh dan padu, selain mempamerkan amalan demokrasi dalam parti,” ujarnya.

    Tambahnya, beliau juga tidak menolak budaya peralihan kuasa lancar oleh pemimpin terdahulu turut menjadi faktor kestabilannya.

    Ini dibantu sikap ahli yang amat setia dan taat kepada parti serta meletakkan kepentingan rakyat dan parti mengatasi kehendak peribadi. – Sarawakiana
  • No Comment to " PBB Parti Komponen BN Paling Stabil Dalam Persediaan Hadapi PRU14 "