• Pasaran Mampu Serap Kenaikan OPR - CIMB

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB menyifatkan kenaikan kadar utama iaitu Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai sesuatu yang dijangkakan dan tidak melihat sebarang tindakan sama akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata kenaikan kadar faedah juga sudah dijangkakan oleh pihak CIMB.

    "Bagi kemajuan masa depan, kami berasakan langkah ini menyokong trajektori pertumbuhan Malaysia yang kukuh. Malah kenaikan 25 mata asas itu juga dapat diserap oleh pasaran, terutamanya ketika ringgit terus mengukuh (berbanding dolar AS) manakala inflasi itu mampu dikawal oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tengku Zafrul juga memberi jaminan dalam apa juga keadaan makronya, CIMB sudah pun bersedia sewajarnya untuk membantu pelanggan menangani kenaikan kadar faedah itu serta cabaran perniagaan lainnya, sama ada di Malaysia atau ASEAN.

    Beliau mengulas langkah BNM menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus berikutan mahu mengembalikan dasar monetari ke paras yang wajar dalam keadaan ekonomi negara berada pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan.

    Dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM berkata kadar koridor terendah dan tertinggi bagi OPR, masing-masing dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 3.50 peratus.

    Kali terakhir BNM mengubah kadar utamanya itu pada Julai 2016 apabila bertindak mengurangkan 25 mata asas. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pasaran Mampu Serap Kenaikan OPR - CIMB "