• Pasangan Kekasih Dipenjara Setahun Sembunyi Kelahiran

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+


    PETALING JAYA: Sepasang kekasih yang juga penuntut kolej swasta dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menyembunyikan kelahiran anak perempuan mereka dengan mengebumikan mayat bayi berkenaan, Ogos tahun lalu.

    Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan Faizal Said, 20 dan Nur Fitri Iryani Sani, 19, menjalani hukuman itu bermula hari ini, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Faizal dan Nur Fitri didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran anak perempuan mereka dengan mengebumikan mayat mangsa dengan sulit setelah bayi itu mati selepas dilahirkan.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Kelana Sentral, Jalan SS 6/12, Kelana Jaya, di sini, jam 10 malam, pada 23 Ogos tahun lalu.

    Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka, memohon dikenakan hukuman penjara dan denda minimum dengan alasan berasal daripada keluarga susah selain masih belajar dan ingin meneruskan pengajian.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik, membantah rayuan itu dan memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara dengan alasan kelakuan mereka menyebabkan bayi berkenaan meninggal dunia.

    "Gambar mangsa menunjukkan bayi dalam keadaan sempurna dan kedua-dua tertuduh seharusnya mendapatkan rawatan atau memaklumkan kepada pihak berkuasa," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pasangan Kekasih Dipenjara Setahun Sembunyi Kelahiran "