• PAS sudah jangka Mahfuz ‘sesat politik’ akan keluar parti

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+
    KOTA BHARU: PAS sudah lama menjangkakan keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata, ini berdasarkan tindakan Mahfuz yang sering mempertikaikan kepimpinan PAS menerusi pelbagai kritikan sejak sekian lama.

    “Ia bukan sesuatu yang memeranjatkan, malah beliau telah lama menunjukkan tindak-tanduknya (untuk keluar parti) melalui kritikan terhadap barisan kepimpinan, seolah-olah cuba ‘menjemput’ PAS memecatnya daripada parti,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau menerima surat pengunduran sebagai ahli parti daripada Mahfuz pada 5.04 petang semalam menerusi e-mel.

    “Antara alasan dikemukakan Mahfuz dalam surat berkenaan termasuk mempertikaikan tindakan PAS dalam hal perjuangan Islam, termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dan sikap berkecuali parti itu dalam pengundian Bajet 2018 adalah satu pengkhianatan kepada rakyat.

    “Selain itu, beliau juga tidak berpuas hati dengan PAS yang disifatkan memencilkan rakyat dan sasaran kemenangan 40 kerusi PAS yang dikatakan terlalu sedikit dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14),“ katanya sambil menambah alasan dikemukakan Mahfuz adalah dakwaan tidak berasas dan menyifatkan bekas ahli PAS tersebut kini “sesat dalam politik”.

    Semalam, Mahfuz yang merupakan bekas naib presiden PAS mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa 11.59 malam tadi dan menetapkan sebulan sebelum mengambil langkah sama ada akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

    Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS bersiap sedia menghadapi PRU14 selepas menyelesaikan proses pemilihan calon baru-baru ini dan kini dalam proses menentukan kerusi mana yang bakal ditandingi, termasuklah pemilihan 30% muka baharu yang akan bertanding atas tiket PAS di Kelantan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PAS akan terus mengadakan muktamar tahunan yang dijangka diadakan di Pahang pada 2 dan 3 Mei tahun ini, walaupun berdepan PRU14. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " PAS sudah jangka Mahfuz ‘sesat politik’ akan keluar parti "