• Pas Sambut Baik Undang-undang Berita Palsu

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    KOTA BHARU - Pas menyambut baik cadangan kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu.

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, usaha itu adalah selari dengan Islam yang menekankan konsep ‘tabayyun’ iaitu memeriksa kesahihan sebarang maklumat atau berita.

    Beliau berkata, penyebaran berita palsu akan menimbulkan persepsi negatif dan mencetus pelbagai masalah dalam masyarakat termasuk ketegangan antara kaum.

    “Usaha ini adalah sesuatu yang positif dan kita sambut baik, media kerajaan pun kadang-kadang menyelewengkan berita dari Kelantan.

    “Sebab itu kita sejak dahulu lagi sentiasa nasihatkan wartawan akhbar supaya menulis dengan betul sebab ada tanggungjawab yang akan dipersoal esok di akhirat.

    “Dalam konteks hari ini banyak media sosial menyebar maklumat yang tidak benar dan mengelirukan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

    Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu namun perkara tersebut tidak bermakna kerajaan mengawal internet. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Pas Sambut Baik Undang-undang Berita Palsu "