• PAS Dalam Keadaan Lemah: Saari Sungib

    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+

    SHAH ALAM: Seorang bekas pemimpin PAS Selangor mendakwa parti itu kini dalam keadaan lemah sejak berada di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib, berkata keputusan beliau keluar PAS untuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN) adalah tepat, selepas hilang keyakinan terhadap Presiden PAS itu.

    "Jika dilihat sejak akhir-akhir ini beliau (Abdul Hadi) begitu agresif mengeluarkan kenyataan untuk menyerang pemimpin Pakatan Harapan.

    "Adakah beliau dalam keadaan tertekan? Saya rasakan betul (tertekan) kerana beliau diasak dengan pelbagai persoalan bukan sahaja daripada pihak luar, tetapi dalam kalangan ahlinya sendiri," katanya kepada BH di sini, hari ini.

    Saari dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin adalah antara pemimpin PAS Selangor yang keluar parti tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang kemudian menyertai PAN selepas ia ditubuhkan.

    Mengenai kenyataan Abdul Hadi bahawa PAN adalah parti 'nyamuk', Saari berkata, sebagai seorang individu yang membawa imej ulama, Ahli Parlimen Marang itu tidak sepatutnya melabelkan sesuatu benda dengan haiwan.

    "Beginikah sikap seorang ulama besar? Patutkah menggelarkan pihak lain dengan haiwan? Perbezaan pendapat antara parti politik adalah biasa, tetap jangan kata begitu.

    "Dahulu semasa saya dalam PAS, beliau selalu berdakwah meminta ahli menjaga perilaku, namun sebaliknya berlaku. Sebab itu saya katakan keputusan tinggalkan PAS adalah tepat," katanya.

    Ahad lalu, Abdul Hadi ketika merasmikan jentera pilihan raya PAS Selangor berkata, parti itu berhasrat untuk membentuk kerajaan sendiri atau menyertai pembentukan kerajaan baharu selepas PRU-14.

    Beliau sifatkan Selangor antara negeri utama untuk PAS menang besar pada PRU-14, sekali gus menafikan kemenangan PAN yang dianggap Abdul Hadi sebagai parti 'nyamuk'. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PAS Dalam Keadaan Lemah: Saari Sungib "