• Pas ada calon PM sendiri

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+

    KOTA BHARU 17 Jan. - Pas enggan melayan cabaran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya membuat pilihan sama ada menyokong beliau atau Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon Perdana Menteri.

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, mereka berdua bukan pilihan Pas kerana pihaknya akan menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu sendiri.


    Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk mengumumkan perkara itu memandangkan Parlimen masih belum dibubar dan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) belum ditetapkan.


    “Kami tidak pilih dua-dua, Dr. Mahathir tidak, Datuk Seri Najib pun tidak sebab kedua-duanya ada rekod dan masalah tersendiri. Kita sebaliknya akan cadangkan calon Perdana Menteri sendiri.


    “(Calon) itu bergantung kepada keputusan dibuat oleh parti. Sekarang terlalu awal untuk kita putuskan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.


    Selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Kuala Lumpur semalam, Dr. Mahathir mencabar Pas menyatakan pendirian sama ada menyokong beliau atau Najib sebagai calon Perdana Menteri.


    Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar menyelar Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi dalam PRU-14 sebagai petanda awal kerjasama parti itu dengan Barisan Nasional (BN).


    Menurut Mohd. Amar, Mahfuz mungkin keliru dan menyangka Pas hanya mahu memenangi 40 kerusi sedangkan angka itu adalah sasaran minimum semata-mata dan Pas berharap dapat memenangi lebih daripada jumlah itu.


    “Mahfuz ini sentiasa keliru, keliru dengan pendirian parti, keliru dengan Presiden. Sebab itu dia keluar parti,” katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Pas ada calon PM sendiri "