• PAN Kecundang Sebelum Masuk Gelanggang PRU

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+


    SERONOK juga melihat cara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sibuk memfaraidkan sesama mereka 65 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang dahulu ditandingi oleh calon PAS.

    Ini sewaktu PAS pernah bersama di dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu. Paling menyedihkan tentulah serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN) yang ditubuhkan pada 2015 lalu.

    Para pemimpinnya sebelum ini berdegar-degar melaungkan ke seluruh negara kononnya PAN akan ambil alih tempat PAS di dalam Pakatan Rakyat dahulu dengan kali ini menandingi kerusi-kerusi yang PAS pernah tanding.

    Ironinya, daripada 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon PAS dahulu, PAN hanya diberikan 25 kerusi sahaja berbanding 35 yang diberikan kepada PPBM, 4 pula PKR dan malah DAP dapat satu.

    Ia bersamaan 38 peratus dan markah yang diperoleh PAN ini adalah bukti nyata kegagalan awal dalam misi yang dilaungkannya untuk konon ganti peranan PAS di dalam PH dengan konsep Islam rahmatan lil ‘alamin-nya.

    Agihan kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia ini menunjukkan betapa PAN diperbudak-budakkan oleh rakan-rakannya dalam PH hingga menyebabkan pemimpin PAN luah kekesalan mengenai mereka terpaksa berkorban.

    Keluhan Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan, menerusi portal Free MalaysiaToday, mencerminkannya: “Hanya PAN sanggup korban untuk gabungan pembangkang tetapi komponen lain hanya fikir kemahuan sendiri.”

    Katanya mengenai agihan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: “Kita (PAN) korbankan satu-satunya kerusi Parlimen yang ada untuk PPBM walaupun PKR ada lebih daripada 1 kerusi Parlimen di sana.”

    Begitu juga agihan kerusi di Johor apabila Aminolhuda berkata: “Di Johor, DAP ambil alih Ayer Hitam daripada PAN hanya kerana DAP perlu bertanding 1 kerusi lebih daripada jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA.”

    Turut dibangkitkan oleh Aminolhuda adalah pengorbanan PAN “yang ke depan membentuk PH”, “menjadi tonggak PH di Johor”, “isytihar Johor negeri barisan depan PAN” tetapi kini terpaksa menyerahkan Johor kepada PPBM!

    Begitu juga dengan pendedahan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, menerusi portal The Malaysian Insight, bahawa Konvensyen PH hampir sahaja tidak mampu dilangsungkan apabila timbul kebuntuan isu agihan kerusi.

    Katanya, ia berlaku ekoran ketegasan semua parti pertahan kerusi masing-masing ini dan hanya berjaya dipecahkan untuk membolehkan konvensyen itu diteruskan setelah PAN bersetuju serah kerusi Titiwangsa kepada PPBM.

    Semua ini mendedahkan ketidaktegasan pemimpin PAN memperjuangkan kepentingan mereka sekali gus timbul persoalan besar mengenai bagaimana konsep Islam rahmatan lil ‘alamin dapat diperjuangkan oleh PAN sendiri.

    Paling ketara memperbudak-budakkan PAN ialah PPBM yang bolot dua kerusi PAN di Wilayah Persekutuan dan juga lagi dua kerusi PAN di Perlis sehingga PAN langsung tidak memperoleh sebarang kerusi di dua negeri ini.

    Lebih jelas lagi ialah apabila dua kerusi yang PAN tandingi dalam Pilihan Raya Kecil pada 2016 bahkan yang telah PAN ‘jaga’ sejak detik itu, iaitu kerusi P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar, pun turut dirampas oleh PPBM.

    Ketamakan PPBM ini terserlah menerusi kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kepada portal MalaysiaKini bahawa PPBM sebenarnya meminta diperuntukkan bilangan kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung.

    Malah asalnya PPBM meminta sebanyak 80 kerusi. Turut memperbudak-budakkan PAN ialah DAP yang, mengikut laporan portal The Malaysian Insight, menyerahkan kerusi P135 Alor Gajah dan P165 Tanjong Piai kepada PPBM.

    Ini sebagai pertukaran hanya untuk dapat kerusi P148 Ayer Hitam yang asalnya milik PAN untuk ditandingi pada PRU ke-14. Jika betul DAP hormat PAN, mengapa tidak diberikan sahaja mana-mana kerusi milik DAP kepada PAN.

    Bukan beri pula kepada PPBM sebagai tukaran kerusi milik PAN itu? Tidak hairanlah apabila Aminolhuda serta Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi dan Timbalan Pengerusi PAN Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed melenting!

    Ramai pemimpin lain di peringkat negeri bahkan turut membangkitkan isu layanan teruk pihak DAP, PPBM dan PKR terhadap PAN ini secara terbuka, malangnya suara mereka ‘ditutup’ kemas portal pro-PH agar tidak dketahui.

    Semoga layanan teruk ke atas PAN dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung ini mampu menyedarkan akar umbi PAN betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui PH pada PRU-14 kelak. - Mynewshub

    Subjects:

  • No Comment to " PAN Kecundang Sebelum Masuk Gelanggang PRU "