• Pakatan Pembangkang Pelupa

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri oleh pakatan pembangkang membuktikan mereka ketandusan pemimpin untuk memimpin negara pada masa depan.

    Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata menjadi satu yang aneh Dr Mahathir dicalonkan untuk jawatan itu kerana sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, hampir setiap hari pemimpin pembangkang terutama DAP dan PKR mencaci dan menghina kepemimpinannya.

    "Dulu mereka kata Dr Mahathir memusnahkan demokrasi serta menindas rakyat.

    "Kini, pakatan pembangkang seolah-olah lupa dengan tuduhan, kebencian dan penghinaan mereka terhadap Dr Mahathir sehingga sanggup menamakan beliau sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

    Ahad lalu, konvensyen pakatan pembangkang antara lain mencapai resolusi untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Datuk Seri Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Shahrizat berkata, jelas sekali pakatan pembangkang memanipulasi emosi dan fikiran rakyat hanya untuk memenangi PRU14.

    "Ternyata, agenda pembangunan negara dan pembelaan isu rakyat bukanlah agenda utama dalam perancangan pakatan pembangkang, tetapi semata-mata menentukan agenda peribadi mereka saja.

    "Berbeza dengan BN yang sentiasa konsisten untuk memastikan rakyat dan negara sentiasa dalam keadaan stabil, aman dan sejahtera," katanya.

    Selain itu, Shahrizat berkata, Wanita BN kini bersiap sedia bersama barisan jentera parti komponen untuk menjalankan tugas demi mengekalkan kemenangan Barisan Nasional pada PRU-14. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pakatan Pembangkang Pelupa "