• Pakatan Harapan Sukar Raih Sokongan Bukan Melayu

    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+

    Oleh Datuk M Periasamy

    MEMANDANGKAN tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 ) akan diumumkan pada bila-bila masa, pelbagai ramalan terhadap keputusan PRU-14 dibuat saban hari.

    Antaranya, ada yang berpendapat, Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak, mampu mempertahankan Putrajaya dengan mudah, malah akan memperoleh keputusan lebih baik daripada PRU-13.

    Ada pula yang berpendapat, BN akan menghadapi kesulitan dalam mengalahkan Pakatan Harapan yan dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad kerana Pakatan Harapan dijangka akan melawan BN sampai titik darah penghabisan.

    Ada yang berpendapat, PRU-14 akan menyaksikan 'tsunami Melayu' yang dijangka akan mencorak hala tuju politik negara.

    Penganalisis politik melihat PRU-14 sebagai medan pertembungan hebat antara dua pemimpin dan parti mewakili kepentingan orang Melayu. Namun, sejarah pilihan raya Malaysia menunjukkan, BN yang ditunjangi UMNO, pernah menewaskan pembangkang yang mewakili Melayu.

    BN pernah menumbangkan Parti Semangat 46 (S46) yang menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif (BA) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyertai Pakatan Rakyat.

    Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat sokongan hebat dan hampir seimbang dengan Dr Mahathir, Presiden UMNO ketika itu juga sukar meraih sokongan pengundi Melayu, apabila melawan merebut jawatan presiden.

    Undi Melayu pernah berpecah kepada dua parti terbesar, UMNO dan S46 yang mewakili kepentingan Melayu, ekoran episod Razaleigh lawan Mahathir untuk merebut jawatan presiden UMNO. Namun, S46 yang bekerjasama dengan PAS dan DAP ketika itu gagal menumbangkan UMNO/ BN.

    BN memenangi 127 kerusi (70.6 peratus) daripada jumlah 180 kerusi pada PRU 1990 dan 162 kerusi (84.4 peratus) daripada 192 kerusi pada PRU 1995.

    Begitu juga, PKR yang ditubuhkan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila beliau dipecat daripada UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh UMNO yang dipimpin Mahathir, ternyata sukar meraih sokongan pengundi Melayu.

    BN menang banyak kerusi

    UMNO pimpinan Najib menang 109 kerusi daripada 133 kerusi yang ditawan oleh BN pada PRU-13. Dalam pada itu, keputusan PRU-13 menunjukkan PAS adalah parti yang menerima sokongan hebat daripada parti lain yang menyertai Pakatan Rakyat. PAS memperoleh sokongan 44.34 peratus diikuti PKR, 34.13 peratus, manakala DAP hanya mendapat sokongan 24.01 peratus.

    PKR sejak ditubuhkan dilaporkan hanya meraih 28 peratus sokongan undi Melayu. Bersandarkan profil sokongan itu, apakah Pakatan Harapan mampu meraih sokongan pengundi Melayu pada PRU-14?

    Baru-baru ini, PAS umum akan bertanding lebih 130 kerusi pada PRU-14. Undi Melayu dijangka akan pecah kepada BN, Pakatan Harapan dan PAS. Malah, penyokong PAS yang pernah menyokong PKR dan DAP pada PRU-13 dijangka bukan sahaja kembali menyokong PAS di kawasan majoriti Melayu, malah akan memecahkan undi Melayu di kawasan campuran yang boleh menafikan peluang kemenangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

    Apatah lagi, kini berlaku peningkatan kadar sokongan pengundi Cina dan India terhadap BN. Sokongan pengundi Cina pada PRU-13 sebanyak 15 peratus meningkat kepada 30 peratus, manakala pengundi India 43 peratus kepada 60 peratus.

    Ditambah lagi dengan penolakan Pakatan Harapan oleh penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana pemimpin beliau tersadai, tidak diberi peluang menjadi calon PM seperti diharapkan. Maka peluang bagi BN menawan Putrajaya lebih cerah .

    Apa pun, pengundi Melayu tidak sanggup mengabaikan UMNO yang berjaya memperkasakan ekonomi mereka, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka sejak merdeka.

    Penulis adalah Penganalisis Politik Felo Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia



    -BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pakatan Harapan Sukar Raih Sokongan Bukan Melayu "