• Op Sarang: 5 Ditahan Terlibat Dadah Di Sri Aman

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    foto ihsan PDRM
    SRI AMAN: Seramai lima individu ditahan dalam satu serbuan penyalahgunaan dadah yang dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu Angus, Engkelili dekat sini semalam.

    Kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 26 hingga 52 tahun berkenaan ditahan sekitar jam 1 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerusi Op Sarang.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt. Sahar Abd. Latif ketika dihubungi turut mengesahkan penahanan tersebut, kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis metaphetamine dan amphetamine.

    Jelas Sahar hasil daripada serbuan yang dilakukan pihaknya telah menemui satu kotak warna biru ditulis ‘CREE LED’ di ruang tamu rumah tersebut dan jumlah keseluruhan syabu yang dirampas ialah seberat 26 gram.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami menjumpai enam paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 20.50 gram manakala 11 keratan penyedut minuman berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.50 gram.” katanya.

    Mengulas lanjut Sahar memberitahu polis juga merampas enam biji pil Erimin 5 dengan berat 1.70 gram daripada kelima-lima suspek.

    Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.-Sarawakiana
  • No Comment to " Op Sarang: 5 Ditahan Terlibat Dadah Di Sri Aman "