• Nicol Mara Ke Suku Akhir Masters Arab Saudi

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David meneruskan rentak kemenangan selepas mara ke pusingan suku akhir Masters Arab Saudi 2018 di Riyadh, Arab Saudi.

    Menurut laman web rasmi kejohanan https://squashinsaudi.com/, Nicol yang merupakan pilihan kelima kejohanan menundukkan Joshna Chinappan dari India 6-11, 11-5, 11-7, 11-7 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 38 minit.

    Bekas pemain nombor satu dunia itu akan berdepan pilihan ke-11 kejohanan dari Mesir, Nour El Tayeb yang mencipta kejutan menewaskan pilihan kedua dari Perancis, Camille Serme.

    Sekiranya berjaya, menanti di pusingan separuh akhir adalah di antara pilihan ketiga, Raneem El Welily dari Mesir atau pemain England, Sarah-Jane Perry yang berentap dalam satu lagi aksi suku akhir.

    Sementara itu, pemain nombor satu dunia yang juga pilihan pertama kejohanan, Nour El Sherbini dari Mesir yang menewaskan rakan senegara Hania El Hammamy di pusingan kedua akan berdepan pemain India, Dipika Pallikal Karthik pada pusingan suku akhir.

    Kesemua aksi pusingan suku akhir akan berlangsung esok. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nicol Mara Ke Suku Akhir Masters Arab Saudi "