• NGO Kesal Tun M Kaitkan Pemecatan Salleh Dengan Almarhum Sultan

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) -- Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Negeri Johor (GABUNG) hari ini kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dengan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

    Naib Presiden GABUNG, Abdullah Mohd Yusof turut menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri itu sebagai melampau dan biadap.

    "Dr Mahathir menyalahkan Yang di-Pertuan Agong ketika itu (Almarhum Sultan Iskandar), tetapi kenapa isu itu timbul selepas sekian lama dan Almarhum tidak boleh mempertahankan diri kerana sudah mangkat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Baru-baru ini, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mendakwa namanya digunakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman bagi arahan pemecatan Salleh dalam krisis kehakimanan pada 1998 dan mendakwa pemecatan itu atas arahan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

    Abdullah berkata GABUNG, yang mempunyai 850 NGO di semua daerah di negeri itu dengan keahlian kira-kira 200,000 orang, ingin menyampaikan mesej kepada Dr Mahathir supaya berhenti menyalahkan Sultan yang telah tiada.

    "Isu ini memang tidak betul, tidak adil dan tidak patut keluar dari mulut Dr Mahathir yang dikatakan negarawan. Kalau berkait soal politik, lantaklah, tetapi bila berkait Kesultanan Johor, kita tidak akan berdiam diri," katanya.

    Menurutnya, GABUNG turut merancang untuk membuat laporan polis di setiap daerah dalam masa terdekat berhubung tuduhan Dr Mahathir terhadap Almarhum Sultan Iskandar.

    Sementara itu, berkaitan kenyataan Dr Mahathir terhadap projek pembangunan Forest City, Abdullah berkata bekas perdana menteri itu kehabisan idea apabila mendakwa projek tersebut sebagai penjualan tanah kepada orang asing.

    "Nikmat pembangunan dirasai kita sebagai rakyat, NGO dan ahli perniagaan. Kami sokong Forest City atas dasar pembangunan Johor," katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " NGO Kesal Tun M Kaitkan Pemecatan Salleh Dengan Almarhum Sultan "