• Nelayan Malaysia Ditahan Di Indonesia Bebas Minggu Depan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia menyaksikan kesepakatan untuk membebaskan enam nelayan Malaysia yang kini ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu dalam tempoh terdekat.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dalam satu kenyataan hari ini, berkata persetujuan adalah hasil kesepakatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November lalu.

    "Saya bertemu Duta Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana, semalam, dan ia satu pertemuan yang amat positif apabila kedua-dua pihak kini dalam peringkat akhir proses pembebasan yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

    "Bagi memperkemaskan lagi persiapan kita, hari ini saya turut mempengerusikan satu mesyuarat penyelarasan untuk memastikan pembebasan nelayan Malaysia dan nelayan Indonesia yang ditahan di Malaysia berjalan dengan baik," katanya.

    Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil Kementerian Luar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Perikanan, Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain yang berkenaan.

    Pada masa ini, enam nelayan Malaysia sedang ditahan di Indonesia, manakala 70 nelayan Indonesia pula ditahan agensi penguatkuasaan di Malaysia atas kesalahan menceroboh kawasan perairan masing-masing ketika menangkap ikan.

    Shabery berkata, beliau akan ke Jakarta minggu depan bagi membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti, untuk memuktamadkan pembebasan terbabit, seterusnya menerima nelayan Malaysia yang dibebaskan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nelayan Malaysia Ditahan Di Indonesia Bebas Minggu Depan "