• Negara Tidak Boleh Ada Pemimpin Kitar Semula - Abang Johari

    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+
    KUCHING, 12 Jan(Bernama) -- Gagasan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya melangkah ke arah masa depan yang lebih gemilang dalam agenda transformasi negara, dan memahami bahawa Malaysia tidak boleh mempunyai 'pemimpin kitar semula' untuk merealisasikannya.

    Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata di Sarawak, kebanyakan pengundi adalah golongan muda, dan golongan muda ini lebih suka melihat sesuatu yang baharu, sebuah agenda yang 'futuristik' bagi mereka.

    Bercakap pada sidang berita selepas mempengerusikan mesyuarat BN Negeri di sini hari ini, beliau berkata melihat ke masa depan merupakan cara untuk negara melangkah menuju kemajuan.

    "Bagi negeri Sarawak, kita mempunyai tanggungjawab untuk mencapai matlamat tahun 2030, dalam menjadi sebuah ekonomi yang maju dan pemimpin BN bersetuju untuk menggunakan wadah yang sama bagi Sarawak untuk mara ke hadapan, sama ada dari segi sosial, ekonomi dan politik, BN akan menjadi penggerak utama," katanya.

    Beliau menegaskan hubungan baik antara BN negeri dan Persekutuan mewujudkan suasana yang baik untuk membangunkan Sarawak dalam konteks Malaysia.

    Abang Johari berkata Sarawak berterima kasih apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi maklum balas positif kepada soal 'penurunan kuasa' yang dibangkitkan oleh negeri ini, dan kesediaan beliau untuk mendengar serta berunding tentang perkara itu.

    Beliau berkata fasa pertama rundingan berkaitan aspek petadbiran telah pun dipersetujui, manakala fasa kedua yang menyentuh tentang perlembagaan negeri merupakan perkara ?rumit', yang memerlukan perbincangan lebih terperinci.

    "Berada dalam persekutuan tidak bermakna kita tidak boleh membangkitkan isu ini. Kita berada dalam Malaysia, sentiasa dalam Malaysia, dan selama-lamanya dalam Malaysia. Kita hanya mahu berbincang tentang hak perlembagaan, untuk mendapatkan kembali apa jua kuasa yang terhakis," katanya.

    Beliau berkata perdana menteri secara terbuka menyatakan kesemua ini boleh dibincangkan dengan dua syarat, iaitu tiada perbincangan tentang peralihan kuasa, dan ia hanya boleh dibincangkan dalam semangat keluarga BN. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Negara Tidak Boleh Ada Pemimpin Kitar Semula - Abang Johari "