• Negara Hancur Jika Rakyat Tukar Kerajaan – PM

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    Tanpa kestabilan politik, Malaysia tidak akan maju, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Tegas beliau, rakyat di negara ini tidak boleh leka atau ambil mudah terhadap kestabilan politik yang dikecapi selama ini di bawah kerajaan BN sehingga membolehkan negara mengecap pelbagai pembangunan.

    “Saya baru melawat sebuah negara. Negara itu mencapai kemerdekaan lebih awal daripada Malaysia.

    “Tetapi kekayaan mereka cuma satu pertiga kekayaan Malaysia. Kenapa negara itu tidak sekaya dan semaju Malaysia? Sebab negara itu tidak ada kestabilan politik. Negara itu berdepan dengan perang saudara begitu lama.

    “Kalau kita mempunyai satu keadaan yang rakyat dalam negara kita bersengketa antara satu sama lain, ataupun kita tidak ada kestabilan politik maka negara ini tidak akan maju,” kata Najib hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 10,000 penduduk Nabawan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Pekan Nabawan, Sabah.

    Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

    Tambah Najib yang juga Pengerusi BN, rakyat tidak seharusnya bersikap ambil mudah sehingga sewenang-wenang ingin menukar kerajaan.

    “Dulu bila kita berdepan dengan ancaman komunis, bila kita nak kemerdekaan kita tahu nilai kemerdekaan dan keamanan. Tetapi bila negara sudah aman, harmoni selama ini, kadang-kadang kita lupa. Ada kala kita merasakan bahawa tak susah, kita boleh tukar kerajaan, tak ada masalah.

    “Tetapi tuan-tuan, sekali kita buat silap dengan sewenang-sewenang menukar kerajaan, negara dan negeri boleh hancur. Betul tuan-tuan?,” soal beliau yang disambut dengan suara “betul” oleh hadirin.-BNBBC

    Subjects:

  • No Comment to " Negara Hancur Jika Rakyat Tukar Kerajaan – PM "