• Neelofa Mula Tugas Bersama Airasia

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, hari ini memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan AirAsia.

    Bintang jelita yang turut dikenali sebagai usahawan berjaya itu, berbuat demikian dengan menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan itu di ibu pejabat AirAsia dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

    Pembabitan Neelofa bersama syarikat penerbangan tambah rendah terbaik dunia itu selaras pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fenandes, pada 8 Disember lalu, yang menganggap pelantikan beliau sebagai antara usaha AirAsia untuk mengukuhkan lagi jenamanya.

    Selepas acara berakhir, Neelofa yang kelihatan begitu tenang sepanjang hampir lima jam mesyuarat berlangsung, sempat meluangkan masa beramah mesra dengan hampir keseluruhan ahli keluarga besar syarikat penerbangan terbabit.

    Ditanya perasaannya julung kali membabitkan diri dalam EGM syarikat yang diasaskan 24 tahun lalu itu, Neelofa berkata, ia pastinya pengalaman sungguh menakjubkan.

    Sempat membuat sedikit ulang kaji mengenai AirAsia dan dunia penerbangan, beliau ternyata mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran dan tugas baharunya itu.

    "AirAsia menyambut baik kehadiran saya di sini. Mendengar segala lontaran idea dan pandangan dari setiap individu yang hadir, membuatkan saya kini semakin yakin, mengapa AirAsia mampu berdiri gah di mata dunia seperti sekarang. AirAsia dipenuhi dengan mereka yang sangat bersemangat dan kreatif.

    "Pastinya, pengalaman ini saya akan simpan dan gunakan untuk kebaikan diri sendiri, perniagaan dan orang lain juga. Tirai 2018 dibuka dengan jayanya," kata Neelofa, 28.

    Sebulan lalu, AirAsia mengumumkan pelantikan pelakon terkenal itu sebagai Pengarah Bebas bukan Eksekutifnya. Pelantikan itu diluluskan sebulat suara oleh Ahli Lembaga Pengarah.

    Tony dalam kenyataan yang dikeluarkan ketika itu berkata, pihaknya gembira dan mengalu-alukan pelantikan pengacara program Meletop berkenaan.

    "Pengalaman beliau sebagai usahawan, pencipta jenama akan menjadi sesuatu yang tidak ternilai kepada AirAsia. Beliau juga boleh memberikan pandangan baharu dalam perniagaan kami ketika sedang menuju ke arah menjadi syarikat penerbangan digital.

    "Neelofa juga seorang yang sangat pintar, muda dan bebas - menepati apa yang kami perlukan untuk membantu syarikat terus maju menjadi satu daripada syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik, dipercayai dan dihormati di dunia.

    "Reputasinya sebagai antara usahawan wanita terkemuka di negara ini, selain tersenarai antara beberapa rakyat Malaysia dalam Forbes Asia menerusi segmen 30 Under 30, serta rekodnya dalam memperjuangkan wanita dalam perniagaan menjadi inspirasi kepada kami," katanya.- Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Neelofa Mula Tugas Bersama Airasia "