• Nampak Selipar Terapung

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    Murid lelaki ditemui lemas dalam longkang berhampiran rumahnya di Kampung Padang Jaya, Kuantan, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Mohd Faris Aqeel Mohd Afif, 7, ditemui di dalam dasar longkang berkenaan oleh penduduk.

    Manakala adiknya Mohd Firas Adam, 5, sempat diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

    Lebih memilukan apabila kejadian berlaku hanya selepas dua hari mangsa memulakan sesi persekolahan di Sekolah Rendah Islam (SERI) ABIM Indera Mahkota, di sini.

    Bapanya Mohd Afif Abd Razak, 32, berkata dia dimaklumkan kejadian itu oleh jiran kira-kira 5 petang.

    Katanya, ketika itu dia berada di rumah dan bergegas ke lokasi.

    "Saya lihat seliparnya terapung di permukaan longkang, kami mencarinya dan jiran menemui anak saya di dasar longkang, lalu membawanya naik.

    "Kami cuba memberikan bantuan pernafasan namun dia disahkan meninggal dunia selepas pasukan perubatan tiba kira-kira 6 petang," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTAA.

    Penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) itu berkata, anak keduanya, Mohd Firas Adam sempat diselamatkan penduduk dan dihantar ke HTAA.

    "Kejadian ini amat memilukan apabila baru dua hari dia bersekolah, baju dan alat tulis pun ada yang masih belum digunakan, malah ada belum dibuka daripada bungkusan.

    "Tambahan pula isteri saya, Intan Fazwani Che Zainol, 33, kini hamil tiga bulan anak ketiga kami," katanya.

    Mohd Afif berkata, sebelum ini anak sulungnya itu 'takut' dengan air namun tidak menyangka hari ini mangsa pergi bermain di situ.

    Katanya, sebelum ini longkang berkenaan tidak dipenuhi air namun akibat banjir melanda ia dilimpahi air dari kawasan sawah padi berhampiran.

    "Kawasan rumah saya tidak dinaiki air cuma kawasan longkang itu dipenuhi air akibat banjir," katanya memaklumkan jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sagu, di sini.

    Sementara itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat menziarahi keluarga mangsa di bilik mayat HTAA.

    Tengku Abdullah berkata, ibu bapa khususnya penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan longkang besar perlu memastikan anak mereka diawasi sepanjang masa kerana kejadian seperti itu tidak boleh diduga.

    "Saya lihat hari ini seorang bapa kehilangan anak yang baru dua hari dihantar ke sekolah.

    "Berita yang amat menyedihkan, jadikan ia peringatan untuk kita semua," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Nampak Selipar Terapung "