• Nak Kahwin Perlu Bincang, Apa Lagi Isu Tanah?

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    Jelas sekali perubahan sikap netizen yang semakin hari tidak mahu sabar terhadap sesuatu isu penting yang memerlukan masa untuk diselesaikan cara baik.

    Apa lagi isu berkaitan tanah di bawah urusan kerajaan negeri Sarawak terutama yang berkaitan Pemakai Menoa dan Pulau Galau (PMPG). Netizen seakan hilang pertimbangan serta hilang akal fikiran yang waras.

    Menerusi status mahupun komen di media sosial menggambarkan sikap netizen yang tidak melambangkan masyarakat Sarawak sebenar yang selama itu beradab, bersopan dan bertoleransi. Lebih gemar mengguna sikap kasar, biadap dan membabi buta.

    Mana tidaknya, isu PMPG mengundang kerajaan berfikir dan mencari pendekatan terbaik supaya apa yang tercapai dalam setiap keputusan boleh diterima oleh semua kaum atau etnik negeri ini. Bukan hanya untuk mengembirakan satu kaum sahaja, kerana isu ini jika tidak ditangani dengan baik besar kemungkinan pertelagahan dan perpecahan kaum akan berlaku.

    Tetapi bagi netizen wira 'keyboard' perbincangan hanya perkara yang membuang masa. Hanya lakonan untuk meraih undi dan sebagainya. Malah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari mereka kecam dengan berbagai kenyataan.

    Abang Jo bohong, Abang Jo penipu, Abang Jo nak rampas tanah, Abang Jo cuma jaga Melayu dan sebagainya. Banyak lagi kenyataan yang tidak sepatutnya di tuju kepada pemimpin yang sedang berusaha bertindak seadil-adilnya terhadap seluruh etnik Bumiputera negeri ini berkaitan isu tersebut.

    Bukan setakat Abang Jo, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglash Uggah Embas turut dikecam dengan teruk. Uggah dituduh pengkhianat bangsa sendiri dan dijadikan 'ulun' oleh UMNO Malaya.

    Apa pula kaitan UMNO dalam hal ini?, tidak mungkin semua orang di Sarawak akan jadi ‘ulun’ DAP dan PKR sepertimana mereka.

    Uggah jual bangsa sendiri, Uggah khianat adat budaya Iban, Uggah hipokrit dan bermacam-macam lagi. Sampai begitu sekali tuduhan mereka walaupun pada hakikatnya Uggah berusaha menjamin hak bangsa dan memperbaiki taraf kehidupan seluruh kaum dalam negeri ini.

    Persidangan atau perbincangan adalah pendekatan yang terbaik dikakukan oleh kedua pemimpin negeri ini. Ini kerana isu PMPG bukan boleh dibuat keputusan sembarangan tanpa ada persetujuan seluruh etnik Bumiputera Sarawak.

    Nak kahwin pun perlu perbincangan yang mengambil masa dan jika tidak kemungkinan perkahwinan tersebut akan jadi sebaliknya. Apa lagi isu tanah seperti PMPG. Ia bukan isu untuk satu kaum sahaja tetapi seluruh etnik Bumiputera yang mempunyai definisi tersendiri terhadap PMPG.

    Bila berbicara tentang bersabar, golongan ini akan menunjukkan kedangkalan mereka dengan mengatakan Abang Jo sudah 50 tahun memerintah Sarawak, sedangkan hakikatnya Abang Jo baru setahun jadi Ketua Menteri.

    Kemudian mereka pula mempersoal mengapa baru sekarang berusaha untuk semua itu, kononnya hujah begitu sangat bijak. Kalau ikut logik golongan ini, kerajaan tidak perlu berbuat apa-apa kerana mereka berpendapat semua itu perlu dilakukan pada zaman dulu bukan sekarang.

    Rakyat Sarawak bernasib baik kerana pemimpin negeri dan negara tidak mempunyai mentaliti seperti itu, jika menurut logik kelompok tertentu, kita tidak perlu tidak berusaha menaiktaraf jalan raya, sekolah, bekalan elektrik dan air.

    Jangan kerana menurut hati dan emosi, keadaan negeri akan tidak aman dan pertelingkahan kaum akan berlaku. Akhirnya rakyat sendiri akan rugi di mana pihak lain akan mengambil kesempatan dan hak etnik akan tergadai selama-lamanya.

    Bersabar menanti apa keputusan seterusnya kerana yang pasti kerajaan pimpinan kedua pemimpin terserbut tidak akan membiarkan hak etnik Bumiputera tergadai dan akan terus memperjuangkan hak semua kaum kerana Abang Jo dan Uggah juga merupakan anak jati etnik Bumiputera negeri ini. – A Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Nak Kahwin Perlu Bincang, Apa Lagi Isu Tanah? "