• Model Lelaki Dakwa Mangsa Cabul Jurugambar

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    NEW YORK: Model dan pembantu lelaki yang bekerja dengan jurugambar fesyen terkenal, Bruce Weber dan Mario Testino, mendakwa menjadi mangsa pencabulan, serangan seksual dan diarah berbogel tanpa sebab.

    Dalam kes yang berlanjutan selama beberapa tahun, lelaki muda, termasuk yang kurang dikenali, berkata jurugambar meletakkan mereka dalam situasi seksual tidak selesa dirasakan perlu diterima kerana bimbang dengan masa depan kerjaya masing-masing, menurut laporan akhbar New York Times.

    Peguam kedua-dua jurugambar menafikannya, dan berkata mereka terkejut dan kecewa dengan tuduhan itu.

    "Kami tidak pernah mengadakan hubungan seks atau apa pun tetapi banyak benda berlaku.

    "Ada sentuhan. Pencabulan banyak dilakukan," akhbar berkenaan memetik model Robyn Sinclair, sebagai berkata mengenai Weber, 71, yang antara pelanggannya termasuk Calvin Klein dan Abercrombie & Fitch.

    Menerusi peguamnya, Weber menafikan tuduhan itu dalam kenyataan kepada akhbar berkenaan, menyatakan: "Saya amat terkejut dan sedih dengan dakwaan terhadap saya, yang saya nafikan."

    Firma guaman Testino, Lavely & Singer, mencabar kredibiliti sebahagian yang menuduh beliau dan berkata pernah bercakap dengan bekas pekerja Testino yang turut menyatakan mereka terkejut dan tidak dapat mengesahkan kejadian itu.

    Tuduhan terhadap Testino, 63, yang bekerja untuk jenama fesyen, termasuk Michael Kors, Burberry dan Dolce & Gabbana, dibuat 13 pembantu dan model lelaki dalam keterangan sejak pertengahan 1990-an, lapor akhbar itu. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Model Lelaki Dakwa Mangsa Cabul Jurugambar "