• Model Ekonomi Kita Jadi Contoh Arab Saudi – Najib

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Model ekonomi Malaysia yang kukuh dan mampan kini juga sudah dicontohi oleh negara Arab Saudi, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau yang baharu pulang daripada mengerjakan umrah dan lawatan kerja di negara tersebut baru-baru ini berkata, kerajaan Arab Saudi seperti Malaysia juga sudah memperkenalkan cukai yang seakan-akan sama dengan GST yang dikenali sebagai cukai tambahan nilai (VAT).

    “Banyak orang ikut langkah kita. Saya baru balik jalankan umrah dan urusan kerja di Arab Saudi.

    “Di sana (Arab Saudi) ekonomi model ikut kita. Kita buat GST dia buat. Pergi sana bayar GST tetapi orang kita pergi sana bayar GST tidak komplen. Dia komplen di Malaysia sahaja,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 pesara polis semasa Majlis Perjumpaan Pesara-Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

    Kerajaan melaksanakan GST pada 1 April, 2015 pada kadar enam peratus.

    Najib berkata, GST penting sebab hasil cukai itu akan dikembalikan kepada golongan B40 (bependapatan rendah).

    “Jadi prinsipnya bila ada wang GST dapat, orang yang lebih beli orang kaya.

    “Mereka bayar lebih GST kita pungut kita guna pindah ke B40. Ini prinsip pembahagian kekayaan. Kita buat di Malaysia, Arab Saudi tengok, ikut kita,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Najib juga membandingkan harga minyak di negara ini berbanding dengan kenaikan yang berlaku di negara-negara lain.

    Katanya, orang Malaysia bila minyak naik tiga sen sudah merungut tetapi tidak sedar negara Arab Saudi naik 136 peratus sekelip mata tidak berbuat demikian.

    “Dia merungut tapi tak macam kita. Naik tiga sen, dahsyat,” katanya lagi.

    Sementara itu, Najib turut mengkritik Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun tidak menamakannya dalam ucapannya di hadapan pesara-pesara PDRM hari ini.

    Beliau membangkitkan umur Mahathir yang mencecah usianya ke-93 tahun tetapi tidak mahu bersara tidak seperti pesara polis yang sama umur tetapi sudah bersara.

    “Apatah lagi bila ada bekas ketua polis Melaka umur 93 tahun sama-sama dengan kita yang bersara, namun ada seorang 93 tahun tak nak bersara lagi.

    “Kita mesti berjuang. Tugas kita ni takkan bila bersara umur 60 habis. Ada orang 93 tahun tak habis lagi. Kita ni semua mesti berjuang. Dia mengarut dah tu simpang jauh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Model Ekonomi Kita Jadi Contoh Arab Saudi – Najib "