• MKN Sabah Hantar Balik 353 Pati Filipina

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    SANDAKAN – Seramai 353 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dihantar balik ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan di sini, malam tadi.

    Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Negeri Sabah Datuk Rodzi Md Saad berkata PATI berkenaan terdiri 172 lelaki, 89 wanita dan 92 kanak-kanak.

    Katanya warga Filipina yang dihantar balik dengan menaiki feri ke Zamboanga Filipina itu berusia di antara lima bulan hingga 66 tahun.

    Proses penghantaran balik PATI ke negara asal mereka adalah komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI ke negeri ini, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya jumlah PATI yang dihantar balik pada tahun lepas hingga semalam mencecah 12,670 orang termasuk 697 orang pada bulan ini.

    Katanya jumlah PATI yang dihantar balik dan pulang secara sukarela sejak 1990 hingga semalam mencecah 565,242 orang.

    Rodzi berkata kerajaan mengambil tindakan proaktif dalam usaha mengesan dan menangkap PATI dengan melancarkan pelbagai operasi bersepadu.

    Operasi itu dikelolakan oleh MKN, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Jabatan Imigresen, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritin Malaysia, katanya.

    Beliau mengingatkan majikan dan orang awam untuk memberi kerjasama kepada pihak penguatkuasa dalam menangani masalah PATI dengan menyampaikan maklumat mengenai kehadiran mereka dan tidak menggaji atau melindungi mereka. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " MKN Sabah Hantar Balik 353 Pati Filipina "