• Misha Cari Protege Dalam Mentor Otai

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    Empat penyanyi berpengalaman tanah air iaitu Misha Omar, Siti Sarah, Tam Spider dan Zarul Umbrella bakal menggalas tanggungjawab sebagai mentor dalam program realiti terbitan TV3 yang memperkenalkan konsep baharu iaitu Mentor Otai.

    Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3, Zurina Othman, pihaknya merasakan jenama Mentor sebelum ini telah pun mendapat tempat di hati masyarakat tempatan terutamanya dalam mencungkil bakat nyanyian mereka yang terpendam.

    “Program Mentor selama ini hanyalah dibuka kepada golongan belia sahaja. Oleh sebab itu, pada tahun 2018 ini, TV3 memperkenalkan Mentor Otai untuk memberikan peluang kepada mereka yang pernah dan masih mempunyai impian untuk menjadi penyanyi.

    “Seruan saya adalah, ambillah peluang ini dan sertailah industri hiburan tanah air seperti sesiapa sahaja sentiasa inginkan. Barisan Mentor kami yang sememangnya cukup berpengalaman akan membimbing para protégé mereka sehingga mereka bergelar penyanyi.

    Keempat-empat barisan mentor tersebut mengalu-alukan penyertaan warganegara dalam lingkungan umur 35 hingga 55 tahun ke sesi uji bakat pada 27, 28 Januari ini di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

    Satu lagi sesi ujibakat akan diadakan pada 3 dan 4 Februari depan di lokasi yang sama.

    Sementara itu, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta, Misha teruja diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai seorang mentor.

    “Saya tidak meminta banyak daripada bakal protege saya. Saya tidak mengambil kira status perkahwinan dan umur mereka. Asalkan mereka mempunyai suara yang mantap dan mempunyai keaslian sendiri,” kata Misha. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Misha Cari Protege Dalam Mentor Otai "