• Miri Perlu Tampil Sebagai Bandar Raya Tarikan - Abang Jo

    Published: Wednesday, 3 January 2018
    A- A+

    MIRI: Miri perlu tampil sebagai Bandar Raya Tarikan kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

    Memetik laporan Utusan Borneo, ini kerana menurutnya, Miri kaya dengan kepelbagaian budaya selain berjaya membuktikan perpaduan kaum dan keharmonian agama.

    “Kita harus berusaha bersama menampilkan personaliti Miri yang menawan hati pelancong dan harus mempamerkan Miri sebagai Bandar Raya Tarikan (City of Charm),” katanya dalam teks ucapannya yang di sampaikan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin di sini pada ambang malam Tahun Baharu 2018.

    Katanya, Miri merupakan bandar raya kedua terbesar di Sarawak selepas bandar raya Kuching dengan populasi melebihi 370,000 orang.

    “Terdapat pelbagai kaum seperti Iban, Melayu, Kedayan, Cina, Kelabit, Kayan, Kenyah, Lun Bawang menetap bersama di Miri dengan harmoni, mengamalkan budaya dan agama berbeza sekali gus menggambarkan penyatuan dalam kepelbagaian,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, Miri harus digambarkan sebagai bandar raya mempunyai lokasi strategik, berdekatan laut, memiliki pesisir pantai panjang dan dikelilingi taman negara.

    Beliau memberitahu, Bahagian Miri memiliki taman negara terbanyak iaitu Taman Negara Bukit Lambir, Niah, Loagan Bunut, Usun Apau dan destinasi popular Tapak Warisan Dunia UNESCO di Taman Negara Mulu.

    “Selain itu, terdapat Taman Rizab Semula Jadi Piasau dan tarikan terumbu karang di perairan Miri-Sibuti,” jelasnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Miri Perlu Tampil Sebagai Bandar Raya Tarikan - Abang Jo "