• Miliki Bom Tangan, Pelayan Karaoke Didakwa

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seorang pelayan karaoke mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki bom tangan, Sabtu lepas.

    Tam Boon Wei, 40, didakwa memiliki bahan letupan iaitu sebutir bom tangan yang ditanam dengan niat menggunakannya untuk membahayakan nyawa atau menyebabkan kerosakan teruk kepada harta di kawasan tanah tepi longkang Blok B, De Tropicana Kondominium, Jalan Kuchai Maju 13, Brickfields pada 11.00 pagi, 13 Januari lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 7(b) Akta Bahan Letupan 1957 itu membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun Tam yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan memohon jaminan rendah atas alasan dia penanggung tunggal keluarga serta isterinya sedang sarat mengandung anak ke-3.

    Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Februari untuk sebutan semula kes.-Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Miliki Bom Tangan, Pelayan Karaoke Didakwa "