• Menteri Pertahanan Indonesia, AS Bincang Tingkat Kerjasama 2 Hala

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+


    JAKARTA – Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu, bertemu rakan sejawat dari Amerika Syarikat, James Mattis, di sini pada Selasa dan kedua-duanya telah membincangkan kerjasama pertahanan dua hala, lapor agensi berita China Xinhua.

    Antara lain, mereka membincangkan langkah menubuhkan kerjasama risikan dikenali sebagai “our eyes” menyerupai kerjasama “five eyes” yang diwujudkan oleh Amerika Syarikat dengan negara-negara sekutunya.

    Selain itu, perbincangan ke arah perjanjian bagi mendapatkan kerjasama ketenteraan dan maklumat antara kedua-dua negara juga dalam agenda.

    Kedua-dua menteri pertahanan turut membincangkan pembelian peralatan ketenteraan, isu keselamatan maritim dan kerjasama antikeganasan.

    Sebelum itu, Mattis telah bertemu Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, pada malam Isnin.

    Pada pertemuan itu, Retno telah menyatakan pendirian Indonesia dalam isu seperti konflik Israel-Palestin dan Afghanistan.

    Selain mengulangi sokongan terhadap hasrat Palestin untuk menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, Retno turut mempersoal polisi AS mengurangkan bantuan kepada Palestin.

    Beliau meminta Amerika Syarikat menimbang semula polisinya terhadap Palestin.

    Semasa lawatan beliau ke Indonesia yang bakal berakhir pada Rabu, Mattis turut dijadualkan bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo, dan Ketua Menteri Keselamatan, Wiranto. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Menteri Pertahanan Indonesia, AS Bincang Tingkat Kerjasama 2 Hala "