• Mengamuk Konon, Kan Dah Kena Tahan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    Lelaki ditahan polis bersama sebilah pedang samurai di sebuah rumah di Kampung Tabuan Foochow di Kuching, Isnin lalu, selepas dia mengamuk dan merosakkan kediaman serta motosikal penduduk di Kampung Tabuan pada 3 dan 4 Januari lalu.

    Dalam kejadian 3 Januari lalu, suspek berusia 25 tahun membuat kacau di rumah seorang penduduk kira-kira 7.45 pagi dengan merosakkan harta benda dan motosikal.

    Tidak cukup dengan itu, suspek sekali lagi datang ke lokasi sama bersama tiga lagi rakannya pada 6.40 petang keesokan harinya untuk melakukan kesalahan sama sehingga mengundang rasa bimbang penduduk setempat.

    Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada penduduk setempat sebelum menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan dan orang awam, polis berjaya mengesan lelaki terbabit di sebuah rumah di Kampung Tabuan Foochow, 9 pagi kelmarin.

    "Dalam serbuan itu, polis merampas sebilah pedang samurai yang digunakan suspek dalam kejadian itu. Suspek yang terkejut dengan kehadiran polis gagal melarikan diri.

    "Setakat ini, usaha mengesan tiga lagi rakan suspek yang terbabit dalam kejadian itu sedang giat dijalankan dan polis juga sudah mempunyai maklumat mengenai mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.

    Abang Ahmad berkata, suspek yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut disahkan positif dadah hasil ujian air kencing yang dijalankan.

    Katanya, suspek kini direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.-myMetro
  • No Comment to " Mengamuk Konon, Kan Dah Kena Tahan "