• ‘Mendengar’ apa yang dilakukan Mahathir

    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+
    Tulisan asal oleh:
    Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today, 11 Januari 2018

    Dalam artikel sebelumnya, " Adakah Mahathir PM sementara atau Wan Azizah yang TPM sementara?", kami berkata: Seseorang yang pernah berada di dalam pasukan 'Boffin Boys' Mahathir semasa hari-hari Pasukan A/Pasukan B lewat tahun 1980-an pernah berkata, "Dengan bomoh, anda tidak mendengar apa yang beliau katakan tetapi 'mendengar' apa yang beliau lakukan."

    Untuk mengenali Tun Dr Mahathir Mohamad, anda tidak perlu melihat apa yang dilakukannya dalam satu-satu masa tetapi dalam tempoh masa yang panjang - seperti keseluruhan kerjaya politiknya. Ada yang mengatakan Mahathir tidak konsisten dan boleh berubah dari satu era ke era yang lain. Sebenarnya, itu tidak benar. Mahathir sangat konsisten. Masalahnya ialah anda memilih satu peristiwa dan bukannya menganalisis keseluruhan siri peristiwa sepanjang, katakan, 50 tahun.

    Ambil 'pengendorsan' Mahathir ke atas Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang seterusnya dan persetujuannya bahawa beliau akan melepaskan jawatan itu dan membenarkan Anwar mengambil alih sebaik sahaja Anwar menerima pengampunan diraja, dibebaskan dari penjara, bertanding dan memenangi pilihan raya kecil, dan mendapat persetujuan sebulat suara Pakatan Harapan untuk beliau menjadi Perdana Menteri gabungan itu.

    Sudah tentu, ini semua bergantung pada pertama sekali Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum yang akan datang, DYMM Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan memberi pengampunan kepada Anwar, salah seorang Anggota Parlimen PKR bersetuju untuk meletakkan jawatannya dan Anwar menang pilihan raya kecil itu. Sekiranya salah satu dari empat itu tidak berlaku, keseluruhan perjanjian itu tidak akan menjadi.

    Marilah kita mengandaikan semua ini berlaku dan memandangkan Mahathir telah memberikan janjinya, itu bermaksud bahawa Tuhan sendiri tidak dapat menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri pada tahun ini. Tetapi 20 tahun lalu pada tahun 1998 itulah yang berlaku.

    Anwar pergi menemui Mahathir untuk mengadu bahawa musuh-musuhnya dalam Umno telah menerbitkan sebuah buku - 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM - kerana mereka mahu menjatuhkannya. Mahathir memberitahu Anwar agar tidak risau tentang itu. Mereka cemburu dengan anda, kata Mahathir. Mereka tahu anda pengganti saya dan saya akan segera melepaskan jawatan dan membenarkan anda mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

    Tidak lama selepas itu, Mahathir menyingkirkan Anwar walaupun selepas mengumumkan secara terbuka semasa sambutan Hari Kemerdekaan bahawa Anwar semestinya akan menjadi penggantinya. Itulah yang Mahathir lakukan 20 tahun yang lalu pada tahun 1998, jadi mengapa ia harus berbeza hari ini?

    Pada tahun 1998 Anwar menjadi ancaman kerana Mahathir tahu sebaik sahaja Anwar mengambil alih beliau akan mengorek semua jenayah Mahathir sejak tahun 1981 dan membuatnya bertanggungjawab ke atas semua jenayah itu. Dan ini melibatkan jenayah yang dilakukan oleh anak-anak Mahathir juga. Jadi, demi kepentingan anak-anaknya, Mahathir tidak boleh membiarkan Anwar mengambil alih. Malah Tun Dr Siti Hasmah Ali juga berkongsi pendapat ini.

    Dan hari ini juga sama. Sekiranya Anwar mengambil alih anak-anak Mahathir tidak selamat, lebih-lebih lagi bagi Mukhriz. Mahathir ingin melihat Mukhriz sebagai Perdana Menteri dalam masa terdekat ini tetapi jika Anwar mengambil alih sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan membenarkan Mukhriz menjadi Timbalan Perdana Menteri apatah lagi Perdana Menteri.

    Bolehkah anda membayangkan Anwar memecat isterinya sendiri, Dr Wan Azizah Ismail, dan menggantikannya dengan Mukhriz? Sekalipun Anwar bersedia untuk memecat Wan Azizah ada banyak dalam Pakatan Harapan, dan bahkan dalam PKR sendiri, yang akan menginginkan jawatan itu. Menteri Besar Selangor, Azmin Ali merasakan beliau adalah orang yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri, atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu, dan beliau tidak akan membenarkan Anwar melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru.

    Malah, Azmin bercadang untuk mencabar Dr Wan Azizah untuk jawatan presiden parti. Sebaik sahaja beliau mengambil alih sebagai Presiden PKR, beliau akan mengambil jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Wan Azizah. Tidak mungkin Azmin akan membenarkan jawatan itu jatuh ke tangan Mukhriz apabila ia adalah 'miliknya'.

    Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, DYMM Yang di-Pertuan Agong yang akan melantik seorang Perdana Menteri yang pada pandangan Yang Mulia mendapat keyakinan majoriti Dewan. Itu boleh diterjemahkan sebagai peneraju parti dengan jumlah kerusi paling banyak dalam Parlimen.

    Perdana Menteri yang baru mengangkat sumpah itu kemudiannya mencadangkan barisan Kabinetnya kepada Yang Mulia. Tetapi jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak termasuk dalam senarai mandatori ini. Dengan kata lain, Perdana Menteri tidak memerlukan seorang Timbalan. Atau beliau boleh mempunyai tiga atau lima timbalan. Ini tidak disebut dalam Perlembagaan dan ia adalah hak istimewa Perdana Menteri untuk tidak mempunyai langsung, mempunyai seorang, atau lebih daripada seorang.

    Jadi, sesiapa yang menjadi Perdana Menteri boleh melakukan apa yang dilakukan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 November 2003. Selepas mengambil alih sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5, beliau tidak melantik timbalannya. Beliau membiarkan jawatan itu kosong kerana mengikut undang-undang beliau hanya memerlukan Kabinet tetapi bukan timbalan.

    Mahathir begitu marah bahawa Abdullah tidak melantik timbalannya sehingga pada 6 Januari 2004 beliau membuat kenyataan akhbar mengucapkan terima kasih kepada Abdullah kerana bersetuju melantik Najib Tun Razak sebagai timbalan barunya. Abdullah terkejut dengan itu. Keesokan harinya, 7 Januari 2004, akhbar melaporkan bahawa Najib adalah Timbalan Perdana Menteri yang baru dan itu menyebabkan Abdullah tidak mempunyai pilihan lain selain daripada untuk membuat pengumuman itu.

    Apa yang paling ironi dan apa yang tidak diketahui ramai ialah pengumuman Abdullah mengenai Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru dibuat 24 jam selepas pengumuman Mahathir. Tetapi selama lebih dua bulan, Abdullah mentadbir negara ini tanpa Timbalan Perdana Menteri dan beliau akan berbuat sedemikian selama berbulan-bulan lagi jika Mahathir tidak membuat helah tersebut pada 6 Januari 2004 itu.

    Link asal artikel:
    http://www.malaysia-today.net/listening-to-what-mahathir-does/

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Mendengar’ apa yang dilakukan Mahathir "