• Melampau Tapi Saya Maafkan Dia - Abdul Hadi

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memulangkan paku buah kerasnya terhadap serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai sudah melampau setelah melabelnya kafir dan pengkhianat kerana mengadakan kerjasama dengan UMNO.


    Namun, meskipun mengakui tohmahan yang dilemparkan Dr. Mahathir itu cukup berat, Abdul Hadi tetap memaafkan bekas Perdana Menteri itu serta mengharapkannya insaf atas perbuatannya.


    “Dia orang tua dah. Biar dia insaf sendiri lah. Memang dia sudah melampau. Tapi biar dia fikir dan duduk sorang-sorang, dia kena baca banyak buku. Tapi jangan pula baca buku perubatan saja, buku (agama) Islam pun kena baca.


    “Saya biarkan dia insaf dan mudah-mudahan dia insaf. Antara saya dengan dia, saya maafkan. (Tapi) antara dia dengan Tuhan, dia kena taubat,” katanya.


    Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Markas Besar PRU-14 N20 Pengkalan Berangan dekat sini malam tadi.


    Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Dr. Alias Razak; Timbalan Pesuruhjaya II, Yahaya Ali dan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.


    Beliau diminta mengulas serangan terbaharu Dr. Mahathir semalam yang melabelkan Abdul Hadi sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO.


    Dalam sidang akhbar di Putrajaya itu, bekas Perdana Menteri itu juga menuduh Abdul Hadi hanya memperalatkan Islam kerana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan perlu ditentang.


    Abdul Hadi seterusnya tidak menafikan bekas pemimpin nombor satu negara itu sudah semakin terdesak dengan sanggup melakukan perkara yang akhirnya mengundang padah kepada diri sendiri.


    “Dia memang terdesak, sudah rapat ke dinding dan dia dah tak boleh pergi dah. Maka dia rempuh dinding itu dan tidak pasal-pasal pecah kepala sendiri. Jadi, janganlah pecahkan kepala sendiri,” ujarnya.


    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut menegaskan bahawa tidak mahu mengulas lanjut berhubung isu Amanat Hadi yang kini dibangkitkan kembali oleh Dr. Mahathir.


    “Saya dah tulis buku dan buku dicetak beberapa kali. Jadi, saya tak mahu ulang balik, rujuk buku itu sudah cukup,” tambahnya.


    Mengulas mengenai Datuk Mahfuz Omar keluar Pas, Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebenarnya sudah lama ‘meninggalkan Pas’.


    “Dia dah lama keluar (tinggalkan Pas). Ibarat orang mati lama dah tapi baru tanam,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Melampau Tapi Saya Maafkan Dia - Abdul Hadi "