• MBM Nafi Bertindak Tidak Ikut SOP Terhadap Penjual Buah-buhan Bermusim

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 13 January 2018
    A- A+

    MIRI - Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyangkal dakwaan netizen dalam Facebook bahawa pihaknya melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila mengambil tindakan terhadap penjual buah-buahan bermusim tidak berlesen di Tamu Muhibbah pada Rabu.

    MBM berkata pasukan penguatkuasaan tidak melanggar bidang kuasanya serta mengambil tindakan tersebut susulan aduan orang ramai setelah peniaga tidak berlesen menyebabkan berlaku gangguan lalu lintas apabila mereka menjual buah-buahan di tempat letak kenderaan yang tidak dibenarkan.

    "MBM sudah banyak kali memberi amaran lisan kepada penjual buah-buahan bermusim yang tidak berlesen, menasihati mereka supaya memohon permit sementara untuk berniaga di tempat letak kenderaan yang ditetapkan di luar Stadium Tertutup Miri, tetapi mereka enggan berbuat demikian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    MBM berkata pihaknya perlu bertindak apabila terdapat semakin banyak aduan daripada orang ramai tentang halangan lalu lintas dan perbuatan membuang sisa buah-buahan di tempat awam.

    Katanya, walaupun notis kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga terbabit, kebanyakan mereka yang tidak mempunyai lesen, terus berniaga di situ setelah menjelaskan bayaran kompaun.

    "Bagi mengelak keadaan menjadi tidak terkawal, MBM dan Jabatan Imigresen melancarkan operasi bersama pada Rabu di mana13 notis kompaun dikeluarkan, tiga kes dikenakan impaun dan empat warga asing ditahan Jabatan Imigresen," katanya.

    Di samping menafikan tuduhan netizen bahawa buah-buahan yang dirampas MBM tidak akan dikembalikan dan diambil staf MBM, kenyataan itu berkata pemilik boleh menuntut kembali buah-buahan mereka yang dirampas.

    "Sejajar dengan prosedur kerja seperti yang ditetapkan Seksyen Penguatkuasaan MBM, barang tahan lama akan disimpan selama 14 hari sementara menunggu untuk dituntut pemiliknya," kata kenyataan itu.

    MBM seterusnya menjelaskan bahawa bagi barang mudah rosak seperti sayur-sayuran dan buah-buahan bermusim termasuk durian dan rambutan, Seksyen Penguatkuasaan akan membenarkannya ditutut dalam masa 24 jam, tertakluk kepada pembayaran kompaun dan impaun.

    "Apabila tempoh yang diberi berakhir, Seksyen Penguatkuasaan akan melupuskan barang yang tidak dituntut itu di tapak pembuangan MPM dengan menyimpan rekod sewajarnya, disokong oleh gambar yang dirakam sebelum pelupusan dilakukan dan di mana barang berkenaan dilupuskan mengikut SOP," katanya.

    Oleh itu, MBM menasihati penjual buah-buahan bermusim supaya memohon permit sementara yang melibatkan kos antara RM50 hingga RM150 bagi setiap lot daripada Seksyen Kesihatan Umum di Tingkat 1, Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri.- BERNAMA
  • No Comment to " MBM Nafi Bertindak Tidak Ikut SOP Terhadap Penjual Buah-buhan Bermusim "