• Maybank Rancang Buka Cawangan Sendiri Di India

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+


    NEW DELHI: Kumpulan perbankan terbesar Malaysia, Maybank sudah memulakan rundingan dengan pihak berkuasa India untuk membuka cawangannya sendiri di negara berkenaan.

    Ketika ini, Maybank membuka cawangannya di India menerusi anak syarikatnya, Bank Internasional Indonesia (BII) di Mumbai pada 2013.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Maybank bercadang masuk terus ke India tanpa melalui BII.

    BII membuka cawangan pertama di India pada 1995, tetapi memberhentikan operasinya pada 2008 sebelum kembali pada 2013.

    Selain Indonesia, Maybank juga mempunyai cawangan luar negara di Singapura, Filipina, Thailand, China, Kemboja, Laos, Myanmar, Hong Kong, Brunei.

    Mustapa berkata, syarikat Malaysia mencapai pelbagai kejayaan di India, termasuk yang pertama membina lebuh raya di India mulai 1996, projek monorel pertama di Mumbai oleh Scomi dan projek perumahan bersepadu pertama di India.

    Beliau berkata, India seperti juga China menawarkan potensi besar untuk pelaburan dan perdagangan dua hala.

    Katanya, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi India akan berkembang purata 7.5 peratus setiap tahun sehingga 2022, .

    "Ini menjadikan potensi untuk India menjadi ekonomi besar adalah tinggi sama seperti apa yang dilakukan China beberapa tahun lalu sehingga menjadi ekonomi kedua terbesar dunia. Kita perlu menggunakan potensi ini untuk kesejahteraan bersama.

    "Ekonomi terbuka diperkenalkan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan pelbagai reformasi mesra pelaburan, termasuk rejim baharu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), selain pelbagai dasar pelaburan yang lebih mesra, menjadikannya sesuai untuk melabur di negara berkenaan.

    "Hubungan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Modi juga membuka laluan dan melonjakkan hubungan dua hala untuk kepentingan bersama," katanya pada sidang media dihadiri wartawan Malaysia di sini, semalam.

    Beliau berkata, dengan pasaran besar 1.3 bilion penduduk dengan lebih 200 juta daripadanya kelas menengah, jumlah penduduk muda berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan ekonominya yang sudah mencecah AS$2.3 trilion menjadikan India potensi untuk masa depan.

    "Kita mesti ambil peluang dan pada masa sama, kita juga menggalakkan syarikat India melabur di negara kita supaya perdagangan di antara kedua-dua lebih seimbang," katanya.

    Ketika pertemuan meja bulat yang dihadiri 60 syarikat besar di Mumbai, kelmarin, Mustapa juga mengajak pelaburan negara itu untuk terus meningkatkan pelaburan di Malaysia.

    Pada 2017, India adalah rakan perdagangan kesembilan terbesar Malaysia, dengan nilai dagangan di antara Januari dan November tahun lalu melepasi AS$13 bilion, dan dijangka mencapai sasaran AS$15 menjelang 2020.

    Mustapa berada di sini menyertai rombongan Najib untuk hadir Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India di sini, esok.

    Mengulas mengenai status 35 memorandum persefahaman (MOU) bernilai RM158 bilion ditandatangani syarikat dan agensi kedua-dua negara ketika lawatan kerja Najib ke Chennai dan New Delhi tahun lalu, Mustapa berkata kebanyakan projek besar masih pada peringkat kajian dan perbincangan lanjut.

    Projek terbesar adalah pembinaan bandar maritim terbesar di Pulau Carey, Selangor secara kerjasama oleh MMC Ports Holdings Sdn Bhd, Sime Darby Property Bhd dan syarikat India, Adani Ports serta pembinaan pelabuhan baharu Pelabuhan Klang di Pulau Carey membabitkan AS$32bilion.

    "Kertas cadangan sudah dibawa ke Kabinet dan Majlis Ekonomi Negara. Kementerian Pengangkutan sedang mengambil tindakan susulan. Oleh kerana ia membabitkan pelaburan besar, kerajaan perlu menilai sebelum dapat memuktamadkan rancangan pembesaran projek Pelabuhan Klang itu.

    "Pelabuhan Klang ketika ini adalah pelabuhan ke-12 terbesar di dunia, jadi kita nak buat secara holistik," katanya.

    Mengulas mengenai pertemuan Najib-Modi, Khamis ini, Mustapa berkata, selain mengukuhkan hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan hubungan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara, selain perkongsian strategik pelbagai hala untuk kepentingan bersama.

    Katanya, mereka juga dijangka menyentuh mengenai RCEP (Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau) untuk membentuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) di antara 10 negara ASEAN dengan enam rakan strategik iaitu China, India, Australia, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

    "Perbincangan peringkat menteri ASEAN telah diadakan di Singapura pada 11 Januari lalu dan beberapa cadangan sudah dibuat. Pemimpin ASEAN akan berkongsi cadangan itu dengan Modi.

    "Kita yakin rundingan untuk merealisasikan RCEP dapat dicapai menjelang akhir tahun ini selepas menghadapi pelbagai hadangan sejak dimulakan lima tahun lalu," katanya.-BHOnline




    Subjects:

  • No Comment to " Maybank Rancang Buka Cawangan Sendiri Di India "