• Maut Dipukul Adik Ipar

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+

    KINABATANGAN: Seorang lelaki ditemui mati selepas dipercayai dipukul berulang kali, oleh adik iparnya dalam kejadian di rumah pekerja Ladang Menanggol, dekat sini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu semalam, mangsa yang berusia 60 tahun dipercayai tidur di ruang tamu rumah, sebelum adik iparnya yang berusia 41 tahun pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, selepas meraikan sambutan tahun baharu.

    Suspek dipercayai mengambil kayu di luar rumah, dan memukul mangsa menggunakan kayu berulang kali di kepala dan kaki.

    Difahamkan, seminggu sebelum kejadian, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum suspek mengancam abang iparnya dengan parang, namun dapat diselesaikan oleh pekerja lain.

    Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata suspek ditangkap di Pejabat Ladang Gomantong pada jam 2.35 petang, semalam.

    Katanya, polis juga sudah menemui kayu berukuran antara 30 hingga 60 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

    "Pemeriksaan awal polis menemui dua kesan luka di kepala dan lebam pada mata mangsa.

    "Mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di Sandakan untuk proses bedah siasat," katanya di sini, pagi ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Dipukul Adik Ipar "