• Maut Dipatuk Ular Tedung Bawah Tilam

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+

    Budak perempuan sembilan tahun maut dipatuk ular tedung ketika dia sedang tidur atas lantai berlapikkan tilam di Surat Thani, Thailand, Rabu lalu.

    Ular berkenaan mematuk jarinya ketika dia tidur seorang diri dan keluarganya mengetahui kejadian malang itu ketika mahu mengejutkannya bangun pada pagi Rabu.

    Menurut laporan media Thailand, Prapawee Prawat mula berbaring di atas tilam untuk tidur pada 7.30 malam Selasa, dan disedari mati oleh neneknya, Lung Chu, 70, ketika mengejutkan budak itu keesokannya.

    Polis dan anggota penyelamat yang tiba mendapati ada bengkak kemerahan dengan kesan gigitan pada jari kanak-kanak itu.

    Mereka kemudian menemui ular sepanjang dua meter itu di bawah tilam.

    Penduduk memukul ular itu hingga mati dan mayat Prapawee dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

    Neneknya berkata: “Ketika mahu mengejutkan Prapawee dari tidur untuk ke sekolah, dia tidak bergerak, malah tiada tanda dia bernafas.

    “Dia tinggal bersama saya dan moyangnya (ibu Chu) kerana ibu bapanya berpisah.

    “Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku. Kami tidak pernah jumpa ular dalam rumah sebelum ini.”

    Mejar Jeneral Natakorn Meenim dari Balai Polis Daerah Chaiburi berkata, polis percaya Prapawee sudah mati kira-kira lapan jam sebelum ditemui

    “Polis menerima panggilan pada 7.40 pagi mengenai budak perempuan mati tanpa diketahui sebab.

    “Tiada tanda mangsa diserang atau didera namun ada kesan gigitan pada jari telunjuk kanan.

    “Ular tedung sepanjang lebih dua meter itu ditemui berlingkar di bawah tilam.

    “Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu mati akibat dipatuk ular tedung,” katanya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Dipatuk Ular Tedung Bawah Tilam "