• Maut Dijerut Kekasih Cemburu Malam Tahun Baru

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+

    KEGEMBIRAAN malam tahun baru bertukar tragedi apabila seorang lelaki sanggup membunuh kekasih sendiri dalam satu kejadian di Pontianak, Indonesia.

    Memetik sumber media tempatan, suspek yang berusia 29 tahun itu disyaki membunuh kekasihnya hanya gara-gara sifat cemburu.

    Difahamkan, kejadian bermula apabila pasangan ini berjanji untuk menyambut tahun baru bersama di rumah mangsa yang dikenali sebagai Lie.

    Namun, secara tidak sengaja seorang lelaki lain yang didakwa merupakan kekasih kedua Lie turut berkunjung ke rumah mangsa pada malam itu.

    Ekoran itu, satu pertengkaran telah berlaku di antara suspek dan mangsa di rumah berkenaan sebelum bertindak mengugut akan membunuh diri.

    Bagaimanapun, pertelingkahan itu telah dileraikan dengan cepat oleh abang mangsa yang datang untuk menenangkan keadaan.

    Suspek yang tidak berpuas hati dengan perkara itu bertindak membunuh kekasihnya dengan menjerut leher mangsa menggunakan tali ketika Lie sedang tidur tepat pada malam tahun baru.

    Malahan suspek kemudiannya bertindak merogol Lie sebelum melarikan diri dan meninggalkan mangsa terbaring di tempat tidur.

    Supek itu bagaimanapun berjaya ditahan oleh pihak polis pada keesokan harinya selepas berita kematian menggemparkan penduduk setempat tersebar luas.

    Sementara itu jurucakap polis, M Husni Ramli berkata hasil siasatan awal mendapati Lie dipercayai dibunuh kira-kira 12.20 tengah malam sebelum mayatnya ditemui oleh adik mangsa pada pukul 1.20 pagi.

    Tambahnya lagi, mangsa telah ditemui dalam keadaan terbaring di tempat tidur dengan lehernya diikat menggunakan tali beg. – MYNEWSHUB.CC/AM

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Dijerut Kekasih Cemburu Malam Tahun Baru "