• Masyarakat Perlu Pertingkat Tahap Kesedaran Sivik, Sikap Bertanggungjawab

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR -- Tahap kesedaran sivik yang rendah dan sikap kurang bertanggungjawab mendorong segelintir masyarakat bertindak sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

    Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata dalam usaha Malaysia menuju negara maju, seharusnya aspek moral, etika dan akhlak dalam kalangan masyarakat perlu seiring dengan pembangunan negara.

    “Apa yang membimbangkan pada hari ini, kita sudah melupakan perkara asas iaitu aspek pendidikan, aspek nilai murni dan saling menghormati antara satu sama lain.

    “Banyak kejayaan dikecapi oleh negara ketika ini terutama kemajuan dari segi sains dan teknologi, namun nilai moral dan sahsiah diri dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian yang meragut nyawa remaja lelaki S. Sathiwaran, 15, akibat dihempap sebuah kerusi pejabat dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri Blok 102, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini.

    Biarpun sebelum ini banyak kes seperti membuang sampah-sarap dan pasu bunga ke bawah berlaku di kawasan kediaman awam terutama melibatkan bangunan tinggi sehingga menyebabkan kecederaan dan ada yang kehilangan nyawa, masyarakat masih lagi kurang mengambil iktibar kesannya.

    Kesal dengan kejadian menimpa nasib remaja itu, Lee berkata kejadian itu boleh dielakkan sekiranya penghuni pangsapuri berkenaan mengamalkan sikap bertanggungjawab dan tidak memandang ringan dengan tahap keselamatan sehingga boleh mengundang padah kepada orang lain.

    Bagi mengelakkan kejadian itu berulang, aktivis masyarakat itu berkata persatuan penduduk harus memainkan peranan dalam melibatkan diri melakukan sesuatu aktiviti dan program untuk mendidik masyarakat mencapai nilai-nilai murni dan bertanggungjawab.

    Selain itu, katanya pendidikan di sekolah dan institusi kekeluargaan perlu dipertingkat untuk menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutama kepada golongan muda.

    Setiausaha Persatuan Penduduk PPR Kg Limau, Lembah Pantai Rosli Atan, yang senada dengan Lee berkata persatuan penduduk harus memainkan peranan penting untuk menjalankan aktiviti dan program bercirikan keselamatan kepada penduduk setempat.

    “Kami banyak menganjurkan program berkenaan lima hingga enam kali setahun dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta penglibatan pasukan keselamatan seperti polis dan bomba kepada masyarakat di sini,” kata Rosli.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Masyarakat Perlu Pertingkat Tahap Kesedaran Sivik, Sikap Bertanggungjawab "