• Masyarakat India Kena ‘Tutup Cerita Lama’ Demi Negara

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia khasnya masyarakat India di negara ini diseru untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi masa depan lebih cerah sekaligus ‘tutup cerita lama’.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu masyarakat India untuk berhenti melihat ke belakang terutamanya perkara-perkara yang tidak menyenangkan.

    Menurutnya, ketika ini, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, nasib masyarakat itu semakin terbela kerana segala rintihan serta kehendak komuniti ketiga terbesar itu sentiasa menjadi perhatian kerajaan.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru dan memohon kepada anda semua untuk tutup cerita lama. Lupakan yang lepas-lepas. Anda sendiri nampak segala macam inisiatif yang telah dilakukan dan masih sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN demi masa depan anda.

    “Kerajaan yang ada pada hari ini sangat prihatin dan komited. Pelbagai jenis inisiatif dan pelan jangka pendek dan panjang sedang diusahakan oleh kita. Bantuan yang sedia ada ini akan kita tambah lagi dari masa ke semasa mengikut keperluan.

    “Saya minta kepada anda sekalian untuk terus menyokong BN dan benarkan kami untuk terus perjuangkan nasib anda. Kalau ada apa-apa yang tidak ‘dipersetujui’ oleh anda, lupakan ia demi masa depan kita dan negara ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 400,000 penganut serta pengunjung yang hadir menyambut sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves hari ini.

    Tambah Ahmad Zahid, jangan sesekali timbul fitnah dan khabar angin yang boleh menggangu perpaduan selain timbul prejudis dalam kalangan rakyat disebabkan perbezaan agama.

    “Kita sentiasa mengamalkan kebebasan agama, saling menghormati antara satu sama lain. Kepelbagaian agama serta bahasa dan budaya merupakan satu kekuataan yang perlu diperkukuhkan oleh semua rakyat di negara ini,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menaiktaraf pusat kebudayaan India di Kuil Subramaniyar Swamy bagi keselesaan penganut Hindu menjalankan ibadat pada masa akan datang.

    Dana itu termasuk keperluan bukan sahaja untuk penganut malah sebagai mempromosi kuil yang sama sebagai pusat pelancongan dunia.

    Sebelum ini, kerajaan telah memberikan dana sebanyak RM2 juta pada tahun 2012 namun peruntukan tambahan diberikan kos bagi pusat kebudayaan itu bernilai RM25 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.- MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Masyarakat India Kena ‘Tutup Cerita Lama’ Demi Negara "