• Man City Nyaris Jadi Mangsa Bristol City

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    MANCHESTER: Gol jaringan Sergio Aguero dalam masa kecederaan menyelamatkan Manchester City daripada aib besar apabila sekadar menang 2-1 ke atas kelab divisyen dua Bristol City pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Liga pagi tadi.

    Gol ke-19 penyerang Argentina itu musim ini serta jaringan penyamaan pemain Belgium Kevin De Bruyne selepas Bristol City mendahului permainan menerusi penalti Bobby Reid, melebarkan kemenangan Manchester City di laman sendiri kepada 16 perlawanan berturut-turut.

    Bagaimanapun Bristol City, yang menjadi pemusnah pasukan gergasi musim ini sudah menyingkirkan empat pasukan Liga Perdana Inggeris termasuk juara bertahan Manchester United.

    Tuan rumah hampir memecah kebuntuan pada minit ke-15 di Stadium Etihad, namun percubaan Bernardo Silva terkena pertahanan Bristol City.

    Bristol City yang langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, hampir membuka jaringan sejurus kemudian tetapi percubaan jarak jauh Joe Bryan diselamatkan oleh penjaga gol City Claudio Bravo.

    Pasukan pelawat - yang tampil di aksi separuh akhir kejohanan besar pertama mereka dalam tempoh 29 tahun - sekali lagi hampir dibolosi apabila De Bruyne melepaskan rembatan ke arah gawang namun dinafikan oleh Frank Fielding.

    Pada minit ke-43, Manchester City sekali lagi diancam terjahan kasar John Stones ke atas Reid menghadiahkan penalti buat Bristol City dan Reid menewaskan Bravo yang hanya dapat menyentuh bola dengan hujung jarinya.

    Bersambung babak kedua, Manchester City menyamakan kedudukan pada minit ke-55 hasil gerakan satu dua antara Raheem Sterling dan De Bruyne yang diakhiri dengan jaringan oleh pemain Belgium itu.

    Pengendali Manchester City Pep Guardiola akhirnya memasukkan Aguero menggantikan Yaya Toure ketika permainan berbaki 20 minit dan penjaring terbanyak kelab itu memastikan reputasinya dengan meledak gol kemenangan di akhir permainan. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Man City Nyaris Jadi Mangsa Bristol City "