• Malaysia Tidak 'Letak Bas'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+

    CHANGSHU: Walaupun dihimpit kecederaan dua tonggak, Adam Nor Azlin dan N. Thanabalan, selain dibayangi kekalahan 1-4 kepada Iraq, Malaysia sama sekali tidak akan bermain secara bertahan apabila menentang Jordan dalam perlawanan kedua Kejuaraan Bawah 23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sabtu ini.

    Keadaan kapten dan pemain tengah, Adam yang demam sebelum pertemuan menentang Iraq belum menunjukkan perkembangan positif manakala pe­nyerang, Thanabalan me­ngalami masalah hamstring.

    Kedua-dua pemain diturun­kan dalam kesebelasan utama semalam.

    Malaysia akan berdepan Jordan dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium Changshu, dan satu lagi kekalahan bakal menunjukkan jalan keluar lebih awal buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.

    “Adam demam sebelum perlawanan lagi namun dia tetap mahu beraksi, manakala Thanabalan kemungkinan besar tidak dapat diturunkan menentang Jordan.

    “Bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana saya perlu meneliti laporan doktor,” kata Kim Swee kepada pemberita.

    Masalah terbaharu yang dialami Kim Swee bagaimanapun tidak akan menukar fikiran pe­ngendali kelahiran Melaka itu untuk turun dengan corak agresif, sama seperti ketika menentang Iraq.

    Cuma kata Kim Swee, pasukannya perlu mengurangkan kesilapan yang mampu menghukum diri.

    Tegasnya, Malaysia sebenarnya mampu memberi sai­ngan, namun kegagalan mengutip kemenangan ketika berdepan Iraq berpunca daripada kesilapan sendiri yang terlalu mudah membuka ruang kepada lawan.

    “Saya boleh datang ke sini dengan corak taktikal bertahan untuk setiap perlawanan tetapi apa yang kita boleh pelajari selain bertahan? Kita tidak boleh belajar corak permainan yang kita inginkan.

    “Bagaimanapun, saya fikir untuk pendedahan yang lebih baik kita perlu bermula dengan corak permainan sendiri.

    “Ia terbukti berkesan (ketika menentang Iraq), cuma kita hilang kawalan dan itu menjadi punca kekalahan,” katanya kepada pemberita di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changshu hari ini.

    Kim Swee berkata, anak-anak buahnya perlu kembali fokus kerana mengakui Jordan dan Arab Saudi yang terikat 2-2 dalam aksi pertama adalah lawan setara seperti juara 2013, Iraq.

    Hari ini Kim Swee mengadakan latihan seperti biasa tanpa kehadiran Adam dan Thanabalan yang direhatkan.-Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Tidak 'Letak Bas' "