• Malaysia Satu-Satunya Negara Luar Berjaya Buatkan Panda Gergasi Beranak 2 Kali

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Walaupun sudah dilahirkan 14 Januari lepas, jantina anak pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang masih belum diketahui.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana ibu panda gergasi tersebut terlalu melindungi anaknya.

    Menurutnya, anak panda tersebut kini dalam fasa menyusu sebelum pemeriksaan lebih rapi dijalankan selain pakar zoologi mengesahkannya sihat.

    "Ia kejayaan yang luar biasa. Saya difahamkan China menghantar 12 pasangan panda gergasi ke pelbagai negara di seluruh dunia, tapi Malaysia satu-satunya negara yang berjaya membuatkan panda gergasi melahirkan anak sebanyak dua kali dalam tempoh yang cukup singkat," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan beg pelajar sekolah Parlimen Santubong di sini, hari ini.

    Seramai 200 pelajar dari tujuh sekolah dalam Parlimen Santubong menerima bantuan beg sekolah.

    Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, persekitaran cukup selesa buat pasangan Xing Xing dan Liang Liang di Pusat Konservasi Panda di Zoo Negara membolehkan pasangan berkenaan mendapat anak kedua dalam tempoh singkat selepas anak pertama.

    Buat masa ini menurutnya, anak panda itu masih tidak dibenarkan oleh ibunya untuk disentuh sesiapa.-Sarawakiana





  • No Comment to " Malaysia Satu-Satunya Negara Luar Berjaya Buatkan Panda Gergasi Beranak 2 Kali "