• Malaysia, Indonesia & Thailand Sedia Tindak Balas Tegas Ke Atas EU

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Malaysia, Indonesia dan Thailand bersedia bertindak balas tegas ke atas Kesatuan Eropah (EU) jika kesatuan itu terus mendiskriminasi dan menyerang industri minyak sawit dengan mengeluarkan komoditi itu daripada program biodieselnya.

    Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata Parlimen EU meluluskan dua resolusi dan pelaksanaan resolusi itu akan memberi kesan ketara kepada negara pengeluar khususnya peladang kecil di negara terbabit.

    "Kita berharap ia tidak dilaksanakan, tetapi sekiranya ia benar-benar dilaksanakan, sekiranya produk (minyak sawit) kita di diskriminasi, kita juga boleh mengambil tindakan sama (terhadap EU).

    "Sekiranya anda tidak adil kepada produk kami, ingat bahawa Malaysia, Indonesia dan Thailand juga membeli produk anda," katanya pada sidang media di 'Reach and Remind Friends of the Industry Seminar 2018 and Dialogue' anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini, hari ini.

    Resolusi itu mewajibkan pensijilan tunggal kelestarian minyak sawit atau skim CSPO bagi semua minyak sawit yang memasuki EU selepas tahun 2020 dan mengeluarkan minyak sawit daripada program biodiesel kesatuan itu menjelang 2020.

    EU memberi alasan pengeluar minyak sawit gagal memenuhi Sasaran Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang merangkumi penggunaan, pengeluaran dan tindakan ke atas alam sekitar secara bertanggungjawab.

    Siew Keong berkata, adalah menjadi hasrat utama Malaysia bahawa isu itu dapat diselesaikan secara aman dan diplomasi sebelum resolusi itu di bentang serta diluluskan Majlis Eropah.

    Majlis Eropah adalah badan dalam EU yang bertanggungjawab memberi definisi kepada hala tuju dan keutamaan politik kesatuan itu.

    "Tetapi, kami harap ia tidak ke sana (diluluskan). Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang berunding berhubung perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Eropah dan minyak sawit kekal agenda utama," katanya.

    Sementara itu, berkata nilai, eksport minyak dan produk minyak sawit Malaysia diunjur melepasi RM75 bilion pada 2017, lebih tinggi berbanding RM67.5 bilion pada 2016.

    Bagi 2018, katanya, pihaknya menyasar nilai eksport minyak dan produk minyak sawit melepasi paras RM80 bilion.Ia disandarkan jangkaan permintaan terhadap komoditi itu, selain komitmen kerajaan menggandakan usaha pemasaran minyak sawit di pasaran sedia ada dan pasaran baharu.

    INFO: industri minyak sawit babit lebih 650,000 pekerjaan secara langsung dan 370,000 tidak langsung di Malaysia.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia, Indonesia & Thailand Sedia Tindak Balas Tegas Ke Atas EU "