• Malaysia, Indonesia Rancang Pembangunan Desa, Kampung Di Sempadan

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+


    JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bersama bagi merancang pembangunan desa dan kampung di kawasan sempadan kedua-dua negara.

    Jawatankuasa bersama berkenaan diwujudkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia serta Kementerian Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia.

    Ia akan merancang dan mengenal pasti prospek pembangunan ekonomi dan sosial membabitkan penduduk di kawasan sempadan.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penduduk desa dan kampung di kawasan sempadan seperti di Kalimantan misalnya, telah mempunyai hubungan sosial, malah ada juga hubungan kekeluargaan.

    "Menerusi penubuhan jawatankuasa bersama ini, kita boleh melihat peluang pembangunan bersama berkaitan ekonomi," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia, Eko Putro Sandjojo di sini, hari ini.

    Ismail Sabri berkata, antara program pembangunan bersama membabitkan desa dan kampung di kawasan sempadan adalah berkaitan aktiviti pelancongan seperti inap desa dan aktiviti pertanian.

    Sementara itu, Eko Putro Sandjojo berkata, Indonesia merancang untuk membuka 5,000 hektar kawasan pertanian baharu di Kalimantan.

    "Ia yang akan turut membabitkan kawasan bersempadan dengan Malaysia pasti akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk desa dan kampung kedua-dua negara," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia, Indonesia Rancang Pembangunan Desa, Kampung Di Sempadan "