• Malaysia Hantar Surat Bantahan Sekat Minyak Sawit kepada 27 Negara EU

    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+


    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi hantar surat bantahan sekat minyak sawit kepada 27 anggota Kesatuan Eropah (EU) berhubung cadangan blok itu mengharamkan biobahan api berasaskan minyak sawit menjelang 2020.

    Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pihaknya menghantar surat bantahan itu menerusi duta negara EU di negara ini, Jumaat lepas.

    “Sebanyak 10 alasan dikemukakan dalam surat bantahan itu mengenai cadangan EU yang didapati tidak benar dan tidak adil, terutama kepada kira-kira 650,000 pekebun kecil sawit di negara ini.

    “Walaupun Parlimen Eropah telah mengeluarkan resolusi, namun mereka perlu mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri 27 anggota EU terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad mengenai pengharaman komoditi berkenaan dalam biobahan api.”

    Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan cermin mata kepada 780 warga emas bagi kawasan Parlimen Teluk Intan, hari ini.

    Mah berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berhubung perkara tersebut.

    Beliau berkata, dakwaan EU yang penanaman kelapa sawit boleh memusnahkan alam sekitar tidak boleh diterima sama sekali.

    Parlimen Eropah juga meluluskan resolusi mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

    Ketetapan itu menekankan perlunya pensijilan tunggal pasaran eksport minyak sawit ke Eropah yang menetapkan penghasilan secara lestari tanpa membabitkan aktiviti penebangan hutan.-BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Hantar Surat Bantahan Sekat Minyak Sawit kepada 27 Negara EU "