• Malaysia, China Bincang Selesai Isu Sarang Burung Walid

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+


    MUKAH: Malaysia dan China sedang dalam peringkat akhir rundingan bagi membatalkan sekatan eksport sarang burung walid mentah ke negara Tembok Besar berkenaan.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kementeriannya juga menandatangani perjanjian protokol bersama China dalam merintis usaha penyelesaian isu berkenaan.

    Katanya, ia termasuk memberi kepercayaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar membuat penilaian mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membolehkan sarang burung walid mentah dari negara ini terus dieksport ke China.

    Beliau berkata, kementerian menjangka keputusan positif dalam tempoh beberapa bulan lagi.

    Malah, katanya, perkembangan itu tidak akan menjejaskan pengusaha sarang burung siap diproses tempatan yang permintaan cukup tinggi dari China.

    "Mengikut statistik, sarang burung walid kita yang diproses, seterusnya dieksport hanya 60 tan setahun, sedangkan kapasiti pengeluaran direkodkan hampir 400 tan setahun.

    "Ertinya, sudah banyak dihantar keluar, tetapi melalui jalan lain seperti negara ketiga termasuk Hong Kong, Vietnam dan sebagainya yang akhirnya kebanyakannya berakhir di China juga," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan industri sarang burung walid, di sini petang tadi.

    Ahmad Shabeery berkata, penjualan melalui 'orang tengah' itu menyebabkan sarang burung walid tempatan terpaksa dijual pada harga lebih rendah berbanding harga sebenar pasaran.

    Katanya, kerajaan melihat industri sarang burung walid sebagai sumber kekayaan baharu yang perlu diperkemaskan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    Justeru, Ahmad Shabeery mahu pengusaha industri itu berusaha menjadikan jenama Malaysia kukuh sebagai negara pengeluar produk berkualiti tinggi, selamat dan menepati semua piawaian ditetapkan.

    China mengenakan sekatan terhadap import semua produk sarang burung walid dari Malaysia pada Julai 2011, sebelum sekatan ke atas sarang yang siap diproses dibatalkan pada Jun lalu.- BH

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia, China Bincang Selesai Isu Sarang Burung Walid "