• Malaysia Bantu Pelajar Negara Bergolak

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Malaysia akan menyediakan akses pendidikan kepada rakyat di negara Asia Barat yang bergolak bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata peluang pendidikan itu akan dibuka kepada mereka yang berada di zon peperangan dan pelarian seperti di negara Palestin, Syria, Yaman, Lubnan dan etnik Rohingya dari Myanmar.

    "Terdapat beberapa penuntut tajaan penderma di bawah Organisasi Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO) yang datang ke Malaysia bagi menyambung pelajaran, namun kita tidak mampu untuk membawa semua penuntut.

    "Justeru, kita juga akan menyediakan pembelajaran secara dalam talian untuk mereka meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa untuk Peningkatan Peluang Pendidikan (ICEEO) di Putrajaya, hari ini.

    Persidangan kali pertama itu dihadiri 250 peserta dari 35 negara, bagi membincangkan masa depan dalam mengekalkan pembangunan pendidikan di zon konflik.

    Sempena majlis itu, turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara IESCO dan empat institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Islam Gaza (IUG).

    Idris berkata, beliau yakin Malaysia dapat menyediakan akses pendidikan kepada golongan berkenaan apabila sistem pendidikan negara dilihat bertambah baik.

    Katanya, sehingga kini seramai 100 penuntut berjaya ditaja oleh penderma di bawah IESCO dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 500 penuntut mengikut sumbangan dana yang terkumpul dari semasa ke semasa.

    "Selain itu, kita boleh mencadangkan kepada pihak universiti untuk mengambil 10 penuntut atau mengurangkan yuran pembelajaran dan membantu kos perbelanjaan hidup mereka.

    "Di sini, kita boleh membantu mereka mendapatkan pendidikan yang baik dengan mengurangkan kos dan menawarkan pembelajaran dalam talian," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Bantu Pelajar Negara Bergolak "