• Makan Pasir Untuk Lebih Sihat

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    VILNIUS (LITHUANIA): Seorang wanita warga emas hanya makan pasir sejak lebih sedekad lalu yang didakwa membawa perubahan positif terhadap kesihatannya.

    Stanislava Monstvilene, 70, dari Lithuania mendakwa dia cuma makan pasir sejak sekurang-kurangnya 10 tahun, malah bahan yang sepatutnya tidak boleh dihadam itu dipercayai menghilangkan ketumbuhan otaknya.

    “Saya sebelum ini mempunyai tumor di otak yang besar, malah doktor meramalkan saya tidak hidup lama. Tahap hemoglobin saya lima kali ganda orang normal.

    “Tiba-tiba pada satu hari saya mendapat idea untuk mengunyah dan menelan pasir. Jadi saya melakukannya. Pada mulanya saya tercekik tetapi lama-kelamaan menjadi biasa,” katanya.

    Menurutnya, semakin masa berlalu dia semakin selesa dengan diet barunya itu, malah menjadi ketagih kerana mendakwa mengalami masalah kesihatan setiap kali cuba berhenti memakannya.

    Pakar terapi Liliana Vaishvilene yang memantau perkembangan Stanislava sejak beberapa tahun lalu mengakui kesihatan wanita itu tidak terjejas.

    “Walaupun pelik, kesihatannya sebenarnya semakin baik. Malah dia tidak menemui doktor sejak beberapa tahun lalu.

    “Darahnya elok. Kami memeriksanya beberapa tahun lalu tetapi sejak kebelakangan ini dia tidak memerlukan bantuan perubatan langsung,” katanya.

    Sementara itu, Stanislava mengaku pada peringkat awal dia mengambil masa untuk membiasakan diri dengan makan pasir.

    “Saya mendapati ia tidak boleh dicampur dengan makanan lain atau air. Jika tidak ia membuatkan saya mahu muntah. Malah ketika makan saya juga tidak minum air, cukup jika makan pasir basah kerana saya tidak lagi memerlukan minuman selepas itu.

    “Lain pasir, lain rasanya. Ada yang masam. Ada yang tawar,” katanya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Makan Pasir Untuk Lebih Sihat "