• Luqman Dilantik COO Malaysia Airlines

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    SEPANG: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pelantikan Luqman Mohd Azmi sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airlines Berhad (MAB), berkuat kuasa 1 Februari ini.

    Pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan COO ditinggalkan Izham Ismail, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MAB.

    Mengumumkan pelantikan itu, Izham berkata, Lembaga Pengarah MAG mengalu-alukan kehadiran Luqman dengan peranan baharu itu.

    "Beliau adalah bakat yang dilahirkan Kumpulan, yang mana Luqman memulakan kerjayanya dengan Malaysia Airlines sebagai pelatih pengurusan.

    "Dengan pengalaman lebih 20 tahun dengan syarikat, Luqman memiliki pengetahuan luas dan berpengalaman apabila menerajui bahagian operasi dan kejuruteraan.

    "Dengan enam latihan sigma dan menamatkan Program Pembangunan Pemimpin Perniagaan dari University of Oxford, saya yakin beliau bersedia untuk mengambil cabaran untuk membawa dua fungsi utama (operasi dan kejuruteraan) ke paras baharu yang lebih cekap," katanya dalam satu kenyataan.

    Sebelum pelantikannya sebagai COO, Luqman adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo, anak syarikat kargo MAG sejak September 2015.

    Sebagai CEO, beliau bertanggungjawab merumus pembangunan strategi perniagaan kargo dan hala tuju Kumpulan.

    Di bawah peranan itu, MAB Kargo mencatat pertumbuhan 18 peratus dalam perniagaan menerusi penyusunan semula rangkaian pengangkutan dan usaha sama strategik.

    Luqman menerajui program transformasi bagi MAB Kargo, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju syarikat penerbangan kargo udara terkemuka di Malaysia.

    Ia termasuk transformasi digital untuk memanfaat pertumbuhan perniagaan e-Dagang di rantau ini.

    Ketika bersama MAB Kargo, Luqman berkhidmat dalam pelbagai jawatan, meliputi operasi terminal kargo, sistem operasi dan jualan.

    Beliau berperanan dalam membangun dan melaksanakan proses kargo bagi Pusat Kargo Lanjutan di KLIA, termasuk Pusat Kargo Pulau Pinang.

    Luqman adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Aeroangkasa dari Universiti Syracuse. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Luqman Dilantik COO Malaysia Airlines "